Home Pertahanan dan Keselamatan Bina 3 lagi pos kawalan baharu di Sarawak, banteras jenayah rentas sempadan

Bina 3 lagi pos kawalan baharu di Sarawak, banteras jenayah rentas sempadan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Okt – Perpindahan Ibu Negara Indonesia ke Kalimantan dijangka akan memberi kesan positif dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara khususnya di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan.

Walau bagaimanapun, ia juga turut memberi kesan negatif terhadap aspek keselamatan khususnya dari sudut jenayah rentas sempadan seperti kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), kegiatan pemerdagangan manusia dan penyeludupan barang kawalan.

Sehubungan itu, Kementerian Pertahanan dan kerajaan telah merancang beberapa inisiatif bagi mendepani cabaran ini dan sebahagiannya telahpun dilaksanakan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien berkata, antara inisiatif tersebut adalah pembinaan 14 pos kawalan baharu Tentera Darat Malaysia (TDM) di sempadan Sarawak-Kalimantan.

“Daripada jumlah tersebut, 3 pos kawalan iaitu yang terletak di Batu Kaya, Padang Pan dan Sungai Paoh telah siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada 19 Ogos 2022,

“Sebuah pos kawalan dalam pembinaan di Tapak Megah dijangka siap pada penghujung Oktober 2022. Manakala, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan memulakan pembinaan baharu 3 pos kawalan lagi pada November 2022 ini, iaitu di Mengkalap, Rapak Baru dan Tetangga Akrab,” katanya melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Wilson Ugak Kumbong (Hulu Rajang) yang meminta Kementerian Pertahanan menyatakan perancangan dalam mengawasi sempadan negara khusus di antara Kalimantan dan Sarawak berikutan ibu kota Indonesia baharu akan berpindah secara berperingkat ke Kalimantan Timur menjelang 2024.

Selain itu, bagi mendepani cabaran ini, Hishammuddin turut menjelaskan, kerajaan akan membangunkan Bare Base Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Lapangan Terbang Bintulu, Sarawak di bawah Rolling Plan 2 Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).

“Kerajaan juga akan membangunkan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Bintulu, Sarawak bagi meningkatkan keupayaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),

“Memindahkan Markas Briged Infantri Tentera Darat dari Sibu ke Bintulu selain terus mempertingkatkan tahap kesiagaan dan kekuatan Tentera Darat di Bintulu, Sarawak,

“Meningkatkan keupayaan operasi pemantauan dan pengawasan sempadan melalui penggunaan aset-aset berteknologi tinggi bagi mengurangkan kebergantungan kepada kaedah pengawasan konvensional secara fizikal yang kurang efektif, mengambil kira faktor geografi sempadan Sarawak-Kalimantan yang luas dan diliputi hutan tebal,” jelas Hishammuddin.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, kerajaan akan terus memperkukuhkan keselamatan sempadan melalui kerjasama pertahanan secara dua hala mahupun serantau.

“Sebagai contoh, semasa Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia-Indonesia yang diadakan di ibu negara pada 9 Ogos 2022, kedua-dua negara telah mencapai kata sepakat untuk meneruskan rondaan terkoordinasi di sempadan (Coordinated Joint Border Patrol),

“Selain itu, penugasan ATM dan Tentera Nasional Indonesia di Pos Gabungan Bersama (GABMA) melibatkan 14 pos di kedua-dua negara yang tertangguh seketika disebabkan COVID-19 akan diaktifkan semula,

“Ia termasuklah menggembeleng sumber dan aset kerajaan secara berpusat melalui pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government) antara pelbagai agensi penguatkuasaan,” jelasnya.

Jelasnya, ini adalah sebahagian daripada pelbagai lagi usaha Kementerian untuk memperkukuh kawalan sempadan Malaysia-Indonesia.

Ini termasuklah menambah kem-kem baharu di Sabah termasuk pembinaan Kem Lahad Datu seperti yang telah diumumkannya sewaktu lawatan kerja ke Sabah pada Januari lalu.

Pada masa yang sama, Hishammuddin menjelaskan, kita perlu juga mengambil sikap positif atas perpindahan ibu kota Indonesia ini kerana secara tidak langsung, peningkatan tahap keselamatan di Kalimantan akan dapat membendung kegiatan jenayah rentas sempadan di antara kedua-dua negara. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply