Home Pertahanan dan Keselamatan LMS Batch Kedua adalah perolehan kritikal – apakah perkembangannya?

LMS Batch Kedua adalah perolehan kritikal – apakah perkembangannya?

by M.Daim

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany menegaskan perolehan Kapal Misi Pesisir (Littoral Mission Ship, LMS) merupakan satu perolehan kritikal untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Beliau menyatakan perkara tersebut dalam Wawancara Khas Bersama Panglima Tentera Laut Sempena 40 Tahun Penubuhan Pasukan Khas Laut (PASKAL) baru-baru ini.

“Melalui Rolling Plan 3 Tahun 2023, TLDM telah meletakkan perolehan LMS Batch 2 (LMSB2) sebagai perolehan paling kritikal dan penting,”katanya.

LMS merupakan salah satu daripada komponen yang terdapat dalam Pelan Transformasi 15-to-5 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pada ketika ini, TLDM mengoperasikan 4 buah kapal kelas LMS iaitu KD KERIS, KD SUNDANG, KD BADIK dan KD RENCONG. Kesemua kapal tersebut dibina di China Shipbuilding & Offshore International Company.

Walaupun baharu, perolehan LMS pertama tidak mampu untuk menampung kekurangan keupayaan kombatan TLDM kerana komposisi serta spesifikasi persenjataannya.

Namun begitu, perolehan LMS yang pertama masih belum cukup menampung keperluan TLDM dengan melihat spesifikasi persenjataan keempat-empat kapal terbabit. Kekurangan ini bakal diatasi dengan perolehan kumpulan kedua kapal kelas terbabit

“LMSB2 berbeza dengan LMS yang terdahulu di mana ianya akan dilengkapi dengan sistem persenjataan yang ampuh bagi menangani jurang keupayaan tempur yang dihadapi oleh TLDM pada masa kini.,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan ini perlu diambil segera sebagai penyelesaian jangka pendek dan sederhana, mengambil kira perkembangan geostrategik serantau terutama isu-isu berkaitan Laut China Selatan yang lebih mewajarkan TLDM mempunyai credible deterence.

Dalam Wawancara Khas Sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-89, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menyatakan perolehan LMSB2 diberi keutamaan tertinggi dalam senarai perolehan kelengkapan TLDM.

“Kini perolehan LMS Batch 2 menunggu kelulusan pelaksanaan projek daripada Kerajaan. TLDM turut mengkategorikan projek ini sebagai kritikal dan perlu diberi keutamaan tertinggi dalam senarai perolehan kelengkapan,” kata Panglima Angkatan Tentera dalam jawapan bertulis.

Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin dalam satu kenyataan menyatakan permohonan perolehan LMSB2 telah dipohon kepada kerajaan.

“TLDM telah memohon perolehan LMS batch kedua yang dilengkapi persenjataan lebih menyeluruh,

“Pihak Kementerian telah pun membuat permohonan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri untuk melaksanakan perolehan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada 2 Oktober lalu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan permohonan perolehan LMS Batch 2 (LMSB2) telah dimajukan kepada pihak Jabatan Perdana Menteri.

Spesifikasi?

Pada ketika ini, TLDM tidak menyatakan secara rasmi mengenai spesifikasi secara terperinci atau model apakah yang akan dipilih oleh angkatan laut itu. Malah, bilangan kapal yang akan diperolehi masih lagi menjadi teka-teki.

Pun begitu, melihat kenyataan Panglima Tentera Laut, spesifikasi yang akan terdapat pada LMSB2 dilihat lebih berkeupayaan berbanding 4 buah kapal yang sebelumnya yang hanya dilengkapi dengan meriam utama.

LMS kumpulan pertama pada mulanya direka untuk menjadi modular dengan menggunakan modularised container mengikut misi-misi yang digariskan.

Namun, apa yang dimaklumkan kepada penulis dari beberapa sumber menyatakan penggunaan modularised container serta konsep Fitted For But Not With (FFBNW) dilihat tidak sesuai dengan keadaan semasa TLDM yang memerlukan kapal kombatan dengan kadar segera.

Mungkinkah perolehan LMSB2 akan dijalankan sebaik sahaja Belanjawan 2023 dibentang – itu bergantung kepada pihak kerajaan yang menentukan.

Apa yang pasti, persaingan LMSB2 mungkin akan mewarnai Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23). – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply