Home Politik Kabinet paling mengecewakan, mengangkat kleptokrat – Muhyiddin

Kabinet paling mengecewakan, mengangkat kleptokrat – Muhyiddin

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyifatkan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri adalah ‘paling mengecewakan dalam sejarah negara’.

Beliau dalam satu kenyataan mengulas barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang dijangka akan mengangkat sumpah pukul 3 petang ini.

Menyentuh pelantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam barisan kabinet baharu, Muhyiddin menyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggadai prinsip tatakelola yang pernah diwa-warkan Pakatan Harapan semasa kempen pilihan raya.

“Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menggadai prinsip tatakelola yang baik seperti yang dijaja semasa kempen pilihan raya apabila melantik kleptokrat menganggotai kabinet,

“Ini adalah barisan kabinet paling mengecewakan dalam sejarah negara apabila seorang yang telah dipanggil membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri,

“Tindakan Anwar ini ibarat menjual maruah negara semata-mata kerana keinginannya menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Pengerusi PN menambah, kabinet yang ditubuhkan adalah kabinet kleptokrat yang tidak mempunyai keabsahan untuk berfungsi.

“Kabinet kleptokrat yang tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat ini tidak mempunyai sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara,

“Beliau sendiri sebagai Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan, satu amalan yang membawa kepada pemusatan kuasa dan penyelewengan berskala besar seperti yang berlaku dalam kes 1MDB sebelum ini,

“Bagaimana rakyat dan pelabur boleh percaya terhadap kepimpinan Anwar apabila beliau ternyata berbohong kepada seluruh dunia mengenai agenda anti rasuah, reformasi institusi dan pembelaan nasib rakyat jelata,

“Prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti nyata dikompromi,” katanya.

Pada masa yang sama, Muhyiddin menyatakan pelantikan beberapa individu dalam barisan kabinet baharu itu akan mengundang pelbagai kontroversi pada masa akan datang.

“Ahli Parlimen yang dikenali dengan sikap cauvinis melampau dilantik menerajui kementerian tertentu yang bakal mengundang kontroversi,

“Boleh dijangkakan dasar bersifat perkauman yang ekstrem akan diperkenalkan,

“Sistem negara kita telah rosak apabila individu bankrap moral dan prinsip boleh dilantik menerajui negara dan yang terpalit dengan jenayah rasuah menganggotai kabinet,

“Rasa tanggungjawab dan belas kasihan terhadap rakyat telah tiada dan rakyat juga hilang percaya terhadap tonggak kepimpinan negara,” ujar beliau.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada 28 portfolio. Beliau turut mengumumkan Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Dari 23 portfolio tersebut, Anwar turut memegang amanah sebagai Menteri Kewangan. Selain dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi turut memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Fadillah Yusof yang mencatat sejarah sebagai TPM dari Borneo turut dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply