KUALA LUMPUR, 6 APRIL – Bekas Perdana Menteri dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengutuk kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa membahayakan kedaulatan negara.
Beliau mengulas jawapan lisan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 4 April lalu yang menyatakan keterbukaan Malaysia untuk berunding dengan China mengenai isu perairan negara.
Menurut Ahli Parlimen Pagoh, Anwar Ibrahim yang bertindak sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 sepatutnya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengundang risiko serta mengadai kedaulatan negara.
“Kenyataan ini adalah cuai dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Perdana Menteri, Implikasi kenyataan ini secara tidak langsung telah memperakui tuntutan negara China terhadap kawasan yang sudah sah merupakan wilayah Malaysia yang mesti dipertahankan,
“Pada hakikatnya, kawasan cari gali PETRONAS yang dirujuk oleh Perdana Menteri adalah dalam wilayah Malaysia dan tidak boleh dirundingkan walaupun dituntut oleh negara China,
“Malaysia mesti tegas mempertahankan kedaulatan wilayah dan keselamatan negara bagi melindungi hak dan tuntutan wilayah negara,
“Kenyataan Perdana Menteri tentang keterbukaan Malaysia untuk berunding ke atas hak wilayahnya telah mengundang risiko ancaman kedaulatan negara,” kata Muhyiddin di akaun media sosial rasmi beliau.
Tambahnya, Anwar sepatutnya bertegas untuk mempertahankan kedaulatan wilayah negara seperti yang termaktub dalam peta Malaysia 1979.
“Sehingga kini, kawasan pertikaian di Laut China Selatan masih belum diputuskan dan ASEAN juga tidak mencapai konsensus mengenai pertindihan tuntutan di Laut China Selatan,
“Perlu diingat bahawa ASEAN menolak pengiktirafan 9 Dash Line yang dituntut oleh negara China, termasuk dalam wilayah perairan Malaysia,
“Berkenaan pertindihan tuntutan, sebarang perbincangan mesti dibuat selaras dengan Konsensus ASEAN dan South China Sea Code of Conduct,
“Sementara Malaysia mengiktiraf negara China sebagai kuasa ekonomi global, kedaulatan negara kita tidak boleh dikompromi sama sesekali,
“Mengambil kira kedudukan ASEAN sebagai gabungan sepuluh buah negara, Malaysia mestilah menangani isu maritim antarabangsa secara lebih berwaspada berpandukan prinsip kedaulatan negara dan Gagasan ASEAN,” ujar beliau.
Terdahulu, Perdana Menteri menyatakan beliau telah membangkitkan isu Laut China Selatan semasa pertemuan dengan pemimpin tinggi China baru-baru ini.
[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=4j-00D1agXw[/embedyt]
Beliau menyatakan perkara tersebut di Dewan Rakyat semasa Sesi Soal Jawab Menteri pada 4 April lalu dan ia telah direkodkan dalam Hansard Parlimen.
“Memang perkara ini diangkat kerana kedua-dua pihak itu ada claim bertindih di Laut China Selatan terutama kebimbangan negara China kerana PETRONAS telah menjalankan satu kegiatan besar-besaran di satu kawasan yang juga ditutup oleh negara China,
“Perkara ini saya sebut sendiri kepada Perdana Menteri Li Qiang dan juga Presiden Xi Jinping bahawa Malaysia menganggap ini kawasan daerah Malaysia, maka oleh yang demikian, PETRONAS akan terus cari gali di kawasan itu,
“Walau bagaimanapun, kalau negara China merasakan ini hak mereka, kita boleh buka untuk rundingan. Akan tetapi sementara itu, usaha kita untuk cari gali akan kita teruskan.
“Saya tidak mahu mengelak daripada meneruskan rundingan kerana ini pendirian ASEAN. ASEAN merasakan semua tuntutan bertindih harus diselesaikan secara rundingan,
“Akan tetapi setakat ini, Malaysia bertegas bahawa ini adalah di kawasan atau wilayah Malaysia. Tentang kehadiran kapal dan sebagainya, itu diterangkan oleh negara China.
“Itu perairan antarabangsa. Akan tetapi pihak kementerian luar akan terus memantau dan sekiranya ada pelanggaran, akan mengeluarkan bantahan,” kata Anwar Ibrahim berdasarkan Hansard Dewan Rakyat. – airtimes.my