Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PAS istiqamah bersama Muhyiddin – Abdul Hadi

PAS istiqamah bersama Muhyiddin – Abdul Hadi

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyatakan pendirian mereka untuk terus beristiqamah bersama kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, partinya terlibat secara langsung dalam mengambil alih kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dibejati dengan krisis kepimpinan dan moral sehingga membosankan rakyat.

“Setelah membentuk kerajaan PN mengikut lunas demokrasi, PAS yang diberikan beberapa peranan dalam Kabinet terus menjalankan tugas masing-masing tanpa banyak soal, kerana PAS meletakkan kepentingan rakyat yang lebih diutamakan,” kenyataan yang dimuat naik menerusi media sosialnya, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, PAS memahami keadaan darurat pandemik COVID-19 dan menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya dihentikan segala ‘politicking’ yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

“Namun, masih lagi terdapat dalam kalangan kita yang seolah-olah meletakkan Malaysia berada di luar alam bumi. Mereka masih tidak henti-henti daripada ‘politicking’ dan sangat bernafsu untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara dan negeri dalam suasana COVID-19 yang sebegini rupa,

“Rasulullah SAW membandingkan kumpulan ini laksana mereka yang berada di petak bawah di dalam sebuah bahtera, di mana mereka ingin menebuk kapal daripada bawah kerana bersikap gopoh ingin mendapatkan air untuk mereka sahaja tanpa mengira semua orang yang berada di dalam bahtera. Mereka perlu dihalang agar semuanya selamat,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply