Home Semasa Moratorium automatik 6 bulan tanpa syarat

Moratorium automatik 6 bulan tanpa syarat

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasssin mengumumkan moratorium bayaran balik pinjaman bank selama 6 bulan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro.

Beliau berkata, pemberian moratorium itu tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada anda telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan.

“Anda cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik. Kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank,

“Permohonan akan dibuka pada 7 Julai 2021. Peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang berkaitan,” katanya semasa mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.

Sementara itu, bagi membantu para peminjam pendidikan, Muhyiddin turut mengumumkan bahawa beberapa agensi kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran.

“Antaranya pertama memberikan moratorium bersasar selama 3 bulan kepada peminjam-peminjam PTPTN dan kedua adalah menangguhkan bayaran balik Pinjaman Pelajaran Persekutuan di bawah JPA dan bayaran tuntutan ganti rugi penerima Biasiswa Persekutuan sehingga enam bulan,

“Ketiga ialah menangguhkan bayaran balik Pinjaman Pelajaran MARA untuk tempoh tiga bulan atau penjadualan semula bayaran balik pinjaman dengan ansuran bulanan serendah 100 ringgit selama 12 bulan; dan keempat untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) selama tiga bulan,” ujarnya.

Muhyiddin berkata nilai keseluruhan inisiatif ini dianggarkan berjumlah RM400 juta dan akan memanfaatkan seramai 1.6 juta rakyat.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pemegang polisi insurans dan takaful yang terjejas juga boleh memohon penangguhan pembayaran premium insurans dan sumbangan takaful (secara opt-in) yang akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

“Inisiatif ini merangkumi pemegang polisi dan sijil insurans hayat dan takaful keluarga. Lebih 1 juta rakyat dijangka memperoleh manfaat daripada pelanjutan ini,

“Jumlah keseluruhan nilai premium dan sumbangan yang ditangguhkan dianggarkan sebanyak 2.6 bilion ringgit,” jelasnya.

Katanya, beliau berharap inisiatif moratorium ini dapat sedikit sebanyak membantu peminjam individu dan PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka semasa tempoh yang mencabar ini.

“Walau bagaimanapun, saya juga ingin berpesan gunalah tawaran ini dengan sebaiknya dan jika tidak mendesak, janganlah membuat tambahan komitmen kewangan lain,” ujar beliau. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply