Home Semasa Pelan Pemulihan Negara: Parlimen boleh bersidang sekitar September, Oktober – Muhyiddin

Pelan Pemulihan Negara: Parlimen boleh bersidang sekitar September, Oktober – Muhyiddin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi komitmen bahawa sidang Parlimen boleh diadakan semasa fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara sekitar bulan September atau Oktober.

Beliau berkata, sidang parlimen akan diadakan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Ini adalah pendirian saya dari awal bahawa sistem demokrasi berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, iaitu setelah kes-kes COVID-19 terkawal dan kita hampir mencapai imuniti berkelompok,

“Saya akan terus mendokong prinsip demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan,

“Jangan ada pihak-pihak yang sengaja menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat sehingga menganggu tugas utama kerajaan untuk menangani pandemik COVID-19,” katanya dalam Perutusan Khas mengenai Pelan Pemulihan Negara: Peralihan Fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Secara Berperingkat, hari ini.

Menurutnya, fasa 3 ini melibatkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada negatif, iaitu di mana semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi untuk jangkitan COVID-19 yang masih ditutup.

“Kita boleh beralih kepada Fasa Ketiga sekiranya kita Berjaya mencapai nilai ambang atau threshold berikut, iaitu purata kes harian COVID-19 menurun ke paras bawah 2 ribu kes; sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di ICU ke paras mencukupi; dan 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin,

“Nilai ambang ini dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir bulan Ogos 2021,” ujarnya.

Tambahnya, semasa fasa 3, semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif.

“Senarai tersebut adalah aktiviti yang berisiko tinggi menyebabkan jangkitan COVID-19 atau melibatkan keramaian; sektor ekonomi akan kekal dibenarkan beroperasi pada kapasiti 80 peratus seperti fasa Kedua; dan aktiviti sosial termasuk pendidikan dan sukan tertentu boleh mula dibuka secara berperingkat,” jelasnya.

Manakala, untuk fasa 3 juga, semua aktiviti pembuatan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP dan had kapasiti.

“Senarai negatif fasa 3 yang tidak dibenarkan beroperasi merujuk kepada aktiviti berisiko tinggi kerana melibatkan keramaian seperti penganjuran konvensyen dan di mana penjarakan sosial tidak dapat diamalkan seperti pub, spa dan salon kecantikan,

“Kelonggaran kepada had kapasiti akan dipertimbangkan untuk membolehkan syarikat beroperasi sepenuhnya setelah pekerjanya divaksinasi,” jelasnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply