Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia cadang tubuh Rangkaian Pertahanan Siber perkukuh pertahanan ASEAN

Malaysia cadang tubuh Rangkaian Pertahanan Siber perkukuh pertahanan ASEAN

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Malaysia telah mencadangkan agar Rangkaian Pusat Pertahanan Siber ASEAN yang dikenali sebagai ASEAN Cyber Defence Network (ACDN) ditubuhkan bagi menghubungkan semua pusat operasi pertahanan siber negara anggota ASEAN (AMS) di bawah Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM).

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan berkata, cadangan tersebut adalah untuk memberi manfaat kepakaran pertahanan siber AMS.

Selain itu, inisiatif ini akan berfungsi sebagai platform pertukaran pengetahuan dan amalan terbaik serta membina keyakinan dan kesediaan dalam isu berkaitan dengan pertahanan siber.

Inisiatif ini telah diusulkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob yang mengetuai delegasi Malaysia ke ADMM ke-15.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan II Brunei Darussalam, Mejar Jeneral (Bersara), Datuk Paduka Seri Awang Halbi Md Yussof, selaku Pengerusi ADMM 2021 telah diadakan melalui persidangan video, hari ini.

“Mesyuarat ADMM ke-15 telah membincangkan mengenai kerjasama pertahanan ASEAN, termasuk 9 inisiatif pertahanan serantau di bawah ADMM,

“Ini termasuk cadangan dari Malaysia untuk mewujudkan satu rangkaian pusat pertahanan siber ASEAN,” jelasnya.

Mesyuarat ADMM ke-15 diakhiri dengan Deklarasi Bandar Seri Begawan bagi meraikan ulang tahun ke-15 ADMM. Kesemua negara bersetuju supaya ADMM terus menjadi platform utama kerjasama pertahanan multilateral di rantau ini, dengan ASEAN sebagai peneraju utama.

Selain daripada mesyuarat ADMM ke-15, Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-China (ASEAN-China Defence Ministers’ Informal Meeting) juga telah diadakan pada 15 Jun 2021.

Mesyuarat ini membincangkan kerjasama pertahanan serantau ASEAN-China dan bertukar pandangan mengenai isu-isu pertahanan dan keselamatan yang menjadi perhatian bersama.

“Malaysia telah mengulangi pendiriannya bahawa walaupun undang-undang antarabangsa menjamin kebebasan navigasi, kehadiran aset ketenteraan di Laut China Selatan berpotensi untuk meningkatkan ketegangan dan seterusnya menyebabkan konflik yang boleh menjejaskan keamanan, keselamatan, dan kestabilan serantau,

“Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat-mesyuarat ini menandakan komitmen berterusan Malaysia terhadap diplomasi pertahanan melalui kerjasama pertahanan dua hala dan pelbagai hala,” menurut kenyataan itu. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply