KOREA SELATAN, 8 APRIL – Dua remaja warga China ditahan pihak berkuasa Korea Selatan selepas didakwa merakam pesawat tentera berhampiran pangkalan udara strategik di Suwon, wilayah Gyeonggi secara haram.
Bahagian Penyiasatan Keselamatan Agensi Polis Wilayah Gyeonggi Nambu dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, kedua-dua remaja terbabit telah didakwa mengikut Akta Perlindungan Pangkalan Tentera dan Pemasangan.
“Salah seorang suspek menyatakan bahawa mereka sekadar mengambil gambar kapal terbang sebagai hobi. Namun begitu, kami tidak menolak sebarang kemungkinan dan membuka siasatan dari semua sudut, termasuk elemen pengintipan,” menurut kenyataan tersebut.
Mengulas lanjut, hasil siasatan awal mendapati suspek, masing-masing dalam lingkungan usia lewat belasan tahun merupakan pelajar sekolah menengah dari China yang memasuki Korea Selatan tiga hari sebelum kejadian menggunakan visa pelancong.
Pemeriksaan terhadap peranti milik mereka menemui puluhan imej pesawat tentera, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada tindakan itu sekadar didorong minat peribadi atau merupakan cubaan pengintipan.
Justeru, pemeriksaan forensik digital sedang giat dijalankan ke atas peranti yang dirampas bagi menentukan sama ada suspek turut merakam kawasan sensitif lain seperti kemudahan tentera, lapangan terbang atau pelabuhan yang diklasifikasikan sebagai infrastruktur kritikal negara.
Dalam perkembangan sama, insiden terbabit dilaporkan berlaku sekitar jam 3.30 petang pada 21 Mac lalu apabila kedua-dua suspek berkenaan dikesan menggunakan kamera DSLR dan telefon pintar untuk merakam pesawat pejuang yang berlepas dan mendarat di sekitar Sayap Pejuang Ke-10 Tentera Udara Korea Selatan.
Kegiatan mencurigakan mereka terbongkar selepas seorang penduduk tempatan membuat laporan kepada pihak polis.
Bertindak atas maklumat itu, pasukan keselamatan dari Balai Polis Hwaseong Dongtan dengan kerjasama unit antikeganasan dan kontra perisikan wilayah segera dikerahkan ke lokasi kejadian dan berjaya menahan kedua-dua suspek.
Kedua-dua remaja kini dikenakan larangan keluar negara sementara siasatan lanjut dijalankan.
Untuk rekod, media tempatan Korea Selatan melaporkan, insiden ini bukan yang pertama melibatkan warga China dengan kejadian perisikan di Korea Selatan.
Pada November tahun lalu, seorang individu warga China ditahan selepas menerbangkan dron di atas ibu pejabat Perkhidmatan Perisikan Negara di daerah Seocho, Seoul.
Manakala pada Januari, seorang lagi warga China dikesan merakam Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju menggunakan dron. -airtimes.my
#Ketenteraan #perisikan #global #rahsianegara #AirTimes #sulit #pertahanan