Home SemasaGlobal AS ugut halau, batal visa pelajar asing jika sokong Hamas

AS ugut halau, batal visa pelajar asing jika sokong Hamas

by Suraya Aziz

WASHINGTON, 10 MAC – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio mengumumkan, kerajaannya akan mengambil tindakan tegas terhadap warga asing di AS yang menunjukkan sokongan kepada Hamas atau mana-mana organisasi yang disenaraikan sebagai kumpulan pengganas.

Langkah ini termasuk pembatalan visa, penarikan balik status Penduduk Tetap (Green Card) serta berkemungkinan dihantar pulang ke negara asal.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di aplikasi X, Rubio berkata, AS mempunyai toleransi sifar terhadap pelawat asing yang menyokong pengganas.

Tegasnya, pelajar antarabangsa juga tidak terkecuali daripada tindakan ini.

“Mereka yang menyokong organisasi pengganas, termasuk Hamas, mengancam keselamatan negara kita. Amerika Syarikat tidak mempunyai toleransi terhadap pelawat asing yang menyokong pengganas,

“Pelanggar undang-undang Amerika Syarikat termasuk pelajar antarabangsa akan menghadapi penafian atau pembatalan visa, serta pengusiran,” katanya pada Jumaat.

Hantaran yang dimuat naik oleh Marco Rubio mengenai pendirian Amerika Syarikat (Foto tangkap layar X Rubio)

Keputusan ini dibuat tidak lama selepas Presiden AS, Donald Trump menandatangani perintah eksekutif bagi memerangi antisemitisme, yang boleh membawa kepada penghantaran pulang pelajar di AS yang terlibat dalam protes pro-Palestin.

Sementara itu, laman berita Axios melaporkan, AS akan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengenal pasti individu yang menyokong Israel dan sebaliknya.

Inisiatif yang dinamakan “catch and revoke ini akan menggunakan AI untuk mengimbas akaun media sosial puluhan ribu pemegang visa pelajar asing bagi menilai sama ada mereka telah menyatakan sokongan kepada Hamas selepas serangan kumpulan itu ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Perintah ini bertujuan untuk menyekat demonstrasi pro-Palestin di kampus universiti dan ruang awam di seluruh negara untuk membentuk persepsi awam terhadap Israel.

Untuk rekod, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Hamas tidak pernah diklasifikasikan sebagai entiti pengganas oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Malah, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan turut menjelaskan, pejuang Hamas bukan organisasi pengganas, sebaliknya kumpulan pembebasan yang melancarkan pertempuran untuk melindungi tanahnya.

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?