Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Latihan MALPAN 2025: Perkasa hubungan pertahanan Maritim Malaysia-Jepun

Latihan MALPAN 2025: Perkasa hubungan pertahanan Maritim Malaysia-Jepun

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Pertahanan Diri Maritim Jepun (JMSDF) memulakan tahun 2025 dengan melaksanakan Latihan MALPAN di Selat Melaka.

Markas Pemerintahan Armada (MPA) Barat memaklumkan, latihan muhibah ini melibatkan penyertaan kapal TLDM iaitu KD LEKIU dan KD LEKIR, bersama dua kapal perang Jepun, JS ARIAKE serta JS HAMAGIRI.

Menurut MPA Barat, kehadiran kapal perang Jepun di Malaysia bukan sahaja untuk lawatan operasi seperti pengisian semula, rehat krew, dan lawatan lapangan, malah berfungsi sebagai platform penting untuk memperkukuh hubungan pertahanan maritim antara kedua-dua negara.

“Latihan MALPAN yang dijalankan buat kali pertama selepas mesyuarat N2NT Malaysia-Jepun awal tahun ini merangkumi pelbagai siri latihan seperti Latihan Komunikasi, Latihan Penerbitan, Latihan Manuver, dan Latihan Foto,

“Aktiviti-aktiviti ini bertujuan meningkatkan koordinasi, komunikasi serta persefahaman antara kedua-dua pasukan dalam menghadapi persekitaran operasi yang dinamik,” jelas MPA Barat dalam hantaran di media sosialnya, pada Ahad.

Tambah hantaran itu, meskipun latihan ini berlangsung pada bulan Ramadan, semangat serta dedikasi The Navy People tidak tergugat dalam memastikan kesiapsiagaan TLDM kekal berada pada tahap tertinggi.

Latihan MALPAN 2025 bukan sekadar manifestasi keupayaan operasi, malah menjadi simbol pengukuhan diplomasi pertahanan antara Malaysia dan Jepun.

“Kepercayaan serta persefahaman yang terjalin menerusi latihan bersama ini membuktikan komitmen kedua-dua negara untuk menjamin kestabilan dan keselamatan maritim di rantau ini,” tambah hantaran itu lagi.-airtimes.my

#airtimes #TLDM #Malaysia #Jepun #latihan

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?