KUALA LUMPUR, 11 Mac – Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperuntukkan sekitar RM70.44 juta bagi kerja-kerja senggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan blok penginapan bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan tersebut adalah sebagai usaha dalam memastikan keselesaan serta kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus terpelihara.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sekitar RM28.71 juta diperuntukkan untuk Pangkalan TLDM Lumut.
“Dalam lawatan ini, saya berpeluang menyantuni warga dan keluarga TLDM,
“Kerajaan memberikan penekanan dalam soal kesejahteraan anggota tentera kita dan keluarga mereka. Ini termasuklah dalam soal perumahan, pendidikan dan bantuan kebajikan,” jelasnya dalam hantaran di media sosial selepas mengadakan lawatan kerja ke Pangkalan TLDM Lumut, pada Isnin.
Mohamed Khaled turut menyampaikan Sumbangan Pendidikan MADANI Yayasan LTAT berjumlah RM17,950 kepada anak-anak anggota dan pegawai TLDM.
Seramai 359 anak TLDM berumur 7 tahun akan mempunyai dana permulaan RM50 dalam akaun PTPTN mereka.
Selain itu, Menteri Pertahanan turut menyampaikan hasil kutipan sumbangan Tabung Tragedi TLDM 2024 ATM kepada waris-waris nahas 2 buah helikopter TLDM yang terhempas pada 23 April tahun lalu.-airtimes.my
#TLDM #airtimes #pertahanan #kebajikan #RKAT #Malaysia