Home Pertahanan dan Keselamatan Asia Pasifik catat jumlah tertinggi serangan siber ke atas Malaysia

Asia Pasifik catat jumlah tertinggi serangan siber ke atas Malaysia

by Suraya Aziz

KUALA LUMPUR, 11 MAC – Asia Pasifik mencatat jumlah tertinggi serangan siber ke atas Malaysia sepanjang tahun 2024, dengan lebih 6.48 juta percubaan serangan berjaya direkodkan. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Molamed Khaled Nordin berkata, angka ini merupakan sebahagian daripada 6,510,476 serangan siber yang dikesan oleh Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Secara keseluruhannya, bagi tahun 2024 sebanyak 6,510,476 serangan siber yang telah dicatat melibatkan threat actors (individu yang menyerang sistem) yang dikenali di peringkat antarabangsa,

“Asia Pasifik mendahului dengan 6,482,151 percubaan serangan, diikuti Eurasia (19,655), Timur Tengah (4,952) dan Benua Amerika (3,718),” katanya dalam kenyatan bukan lisan Dewan Rakyat.

Ujarnya, pengesanan dan pengelasan individu yang melakukan serangan ini dibuat berdasarkan taktik, teknik dan prosedur (TTPs), petunjuk kompromi (IOCs), motivasi serangan serta kaitan geopolitik.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang ingin mengetahui jumlah insiden serangan siber yang dicatatkan oleh BSEP untuk tahun 2024 beserta asal usul negara penyerang. 

Mengulas lanjut, Khaled berkata, laporan analisis terhadap ancaman siber yang dikeluarkan oleh Cyber Defence Operation Center (CDOC) di bawah BSEP ATM dan Cyber Threat Intelligence Center (CTIC) di bawah Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO) ini mendapati, pelaku ancaman menggunakan pelbagai kaedah untuk melancarkan serangan.

Antaranya, pengumpulan maklumat melalui sumber terbuka atau serangan phishing, mengeksploitasi kelemahan sistem dan aplikasi, penghantaran fail berniat jahat melalui e-mel, pengawalan sistem dari jarak jauh serta pencurian data untuk dijual.-airtimes.my

#pertahanan #serangansiber #BSEP #ATM #Mindef #airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?