RAMALLAH, 9 FEB – Tujuh rakyat Palestin yang dibebaskan oleh Israel pada hari Sabtu sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata di Gaza telah dihantar ke hospital sebaik tiba di Kelab Tahanan Palestin.
Perkara ini turut disahkan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin pada Sabtu.
Menurut laporan Kelab Tahanan Palestin, sebahagian besar daripada tahanan yang dibebaskan menunjukkan kesan penderaan fizikal dan kekurangan zat makanan akibat keadaan yang mereka alami sepanjang tempoh penahanan di penjara Israel.
“Mereka yang dibebaskan sebelum ini juga menunjukkan tanda-tanda penyeksaan dan kebuluran. Beberapa tahanan mengalami kecederaan serius, seperti tulang rusuk patah dan jangkitan kulit akibat layanan buruk sepanjang tempoh penahanan mereka,” lapor Al-Jazeera.
Mengulas lanjut, seramai 183 rakyat Palestin telah dibebaskan oleh Israel dalam pertukaran untuk tiga tahanan Israel yang dibebaskan oleh Hamas, dengan 42 darinya tiba di Ramallah,semalam.
Ketibaan mereka yang menaiki sebuah bas disambut dengan sorakan orang ramai. Namun, sebahagian besar tahanan yang dibebaskan kelihatan berada dalam keadaan kesihatan yang buruk.
Dalam tempoh gencatan senjata yang sedang berkuat kuasa, pertukaran tahanan ini merupakan kali kelima dilakukan.
Menurut Al-Jazeera, kira-kira 4,500 rakyat Palestin masih ditahan di penjara Israel, termasuk 310 individu yang diklasifikasikan di bawah “penahanan pentadbiran,” yang bermaksud mereka ditahan tanpa perbicaraan. -airtimes.my
#Palestin #genjatansenjata #Israel #AirTimes #Global