Home Semasa Suspek lepaskan tembakan di Setia Alam dikenal pasti, miliki 11 rekod lampau

Suspek lepaskan tembakan di Setia Alam dikenal pasti, miliki 11 rekod lampau

by Zulhaizi Rosdi

SHAH ALAM, 9 FEB – Pihak polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek merupakan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an, berkulit cerah dan mempunyai 11 rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

“Polis sedang giat mencari dan berusaha untuk menangkap suspek dan motif kejadian masih dalam siasatan.

“Insiden tembakan tersebut berlaku sekitar jam 10.50 malam tadi apabila pihak polis menerima maklumat dari orang awam berubung kejadian itu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Jelasnya lagi, siasatan mendapati, seorang mangsa yang merupakan pekerja pembersihan di pusat beli-belah itu sedang menyimpan peralatan pembersihan di Aras P1 bangunan sebelum suspek tiba-tiba melepaskan empat dan tembakan mengenai kaki dan punggungnya.

“Walaupun cedera, mangsa dapat melarikan diri ke dalam pusat beli-belah untuk mendapatkan bantuan, manakala suspek melarikan diri ke Aras P2.

“Di situ, suspek melepaskan beberapa tembakan ke arah tingkap tangga dan pintu gelangsar sebelum melarikan diri,” ujarnya.

Tambahnya lagi, suspek kemudian merampas sebuah Perodua Ativa yang dipandu seorang pengunjung di lokasi itu dengan mengacukan senjata api dan memaksa pemandu membawanya keluar dari Shah Alam.

“Semasa dalam perjalanan di lebuh raya, suspek mengarahkan pemandu untuk berhenti di tepi jalan sebelum melarikan diri.”

Susulan kejadian itu, mangsa mendakwa tidak mengenali penyerang selain pihak polis menerima tujuh laporan dan keterangan daripada saksi termasuk pemandu Ativa dan mangsa.

“Polis dapat mengenal pasti dengan cepat suspek selepas menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta berdasarkan maklumat risikan.

Justeru itu, kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan semasa melakukan kesalahan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Kes juga disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Terdahulu, media melaporkan satu kejadian tembakan berlaku di sebuah pusat-beli di Setia Alam. -airtimes.my

#Jenayah #PDRM #tembakan #SetiaAlam #semasa #Airtimes #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?