IPOH, 9 FEB – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menumpukan terhadap inovasi dan kreativiti warganya dengan menguasai kemahiran baharu berasaskan teknologi, terutamanya kecerdasan buatan (AI).
Menurut Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, penggunaan AI dalam era teknologi masa kini menjadi kunci dalam membina angkatan masa hadapan yang ampuh bagi memelihara keselamatan dan kedaulatan negara.
“Melalui latihan-latihan kepakaran yang bercorak inovatif, sekali gus mempersiapkan diri anda untuk mengoperasi dan menyelenggara aset serta peralatan pertahanan terkini, yang bakal diperoleh dalam Pembangunan Keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 2055 atau dikenali sebagai CAP55,” katanya.
Justeru, warga TUDM perlu sentiasa berusaha gigih mengadaptasi dan mengaplikasi teknologi terkini secara komprehensif bagi mempertingkatkan tahap kompetensi, ilmu pengetahuan dan kepakaran masing-masing.
“Dalam konteks ini juga, saya yakin dan percaya para Perajurit Muda Udara semua kini berada dalam landasan terbaik untuk meneruskan kesinambungan perkembangan karier dalam TUDM,” nyatanya.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan, Perajurit Muda Udara untuk terus berpegang teguh disiplin ketenteraan dengan menjaga imej serta nama baik perkhidmatan pada setiap masa.
“Hindari salah laku yang boleh menjejaskan integriti dan maruah diri, organisasi, serta negara. TUDM tidak akan berkompromi dengan kesalahan jenayah seperti penyalahgunaan dadah, rasuah dan judi dalam talian,” tegansya.
Jelasnya lagi, nilai integriti yang tinggi perlu sentiasa dibudayakan, sebagai benteng diri daripada terjebak dengan sebarang perbuatan yang merugikan diri dan perkhidmatan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perbarisan Tamat Latihan membabitkan 443 Perajurit Muda Siri 68/24, di Padang Kawad Akademi Tentera Udara, pada Sabtu. -airtimes.my
#AirTimes #TUDM #Teknologi #AI