Home GlobalYaman bergolak: Arab Saudi lancar serangan, UAE umum pengunduran tentera

Yaman bergolak: Arab Saudi lancar serangan, UAE umum pengunduran tentera

by M.Daim
A+A-
Reset


ADEN 3 JAN – Ketegangan di Yaman memuncak ke tahap kritikal pada Jumaat apabila Arab Saudi melancarkan serangan udara terhadap kedudukan kumpulan pemisah selatan.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula mengumumkan pengunduran penuh pasukan tenteranya dari negara tersebut.

Konflik yang selama ini dilihat sebagai perang proksi bertukar menjadi konfrontasi langsung di wilayah timur Hadramout, sejurus selepas kumpulan pemisah Majlis Peralihan Selatan (STC) mengumumkan perlembagaan baharu bagi menubuhkan negara bebas “Negara Arab Selatan”.


Tentera Udara Arab Saudi lancar serangan terhadap kedudukan STC di kawasan Hadramout./Foto: X/AFRIMEOSINT


Serangan udara dan pertempuran di Hadramout

Menurut laporan UPI dan AP, pesawat pejuang Arab Saudi telah membedil kem dan kedudukan tentera STC di wilayah Hadramout berhampiran sempadan Saudi. Serangan itu dilancarkan selepas pasukan STC enggan berundur dari pangkalan strategik yang mereka tawan baru-baru ini.

Jurucakap tentera STC, Mohamed al-Nakib bahawa serangan udara tersebut mengakibatkan kehilangan nyawa, walaupun jumlah sebenar korban belum dapat disahkan.

“Pertempuran sengit meletus antara pasukan STC dan pasukan National Shield (yang disokong Saudi) di beberapa kawasan di Hadramout,” kata Al-Nakib dalam laporan AP.

Wakil STC menyifatkan serangan tersebut sebagai satu pengisytiharan perang oleh Riyadh. Walau bagaimanapun, Gabenor Hadramout yang dilantik oleh kerajaan Yaman, Salem al-Khanbashi, menafikan dakwaan tersebut.

“Langkah ini bukan pengisytiharan perang dan tidak bertujuan untuk meningkatkan ketegangan. Ia adalah langkah pencegahan awal untuk melucutkan senjata dan mengambil semula pangkalan tentera secara aman dan sistematik,” kata , Al-Khanbashi dalam satu kenyataan yang dipetik oleh Al Jazeera dan UPI.


Kenderaan STC yang berjaya dipintas dan dirampas oleh penduduk di Mukalla, Hadramout. /Foto: X/alsakaniali


UAE umum pengunduran penuh dari Yaman

Di tengah-tengah konfrontasi yang tercetus, Kementerian Pertahanan UAE pada petang Jumaat mengumumkan kepulangan kesemua anggota tenteranya dari Yaman.

Memetik laporan Anadolu Agency, kementerian tersebut menyatakan langkah itu adalah selaras dengan keputusan terdahulu untuk menamatkan misi memerangi keganasan (counterterrorism) di Yaman.

“Pengunduran baki pasukan memerangi keganasan di Yaman dilakukan atas kehendak sendiri, dengan cara yang menjamin keselamatan anggota, dan dengan penyelarasan bersama rakan kongsi berkaitan,” jelas kenyataan rasmi Kementerian Pertahanan UAE.

Kementerian Luar UAE turut menegaskan bahawa negara itu menangani situasi semasa dengan kawalan kendiri (restraint), koordinasi, dan komitmen untuk mengurangkan ketegangan.

”Langkah ini berpandukan dasar luar yang secara konsisten mengutamakan kestabilan serantau berbanding tindakan impulsif,” kata kenyataan itu.


Serangan udara Arab Saudi turut disasarkan terhadap beberapa lokasi penting termasuk kem tentera di Hadramaut. /Foto: X/@ALDINY_ABDULLAH


Perlembagaan Baharu dan Referendum

Punca terbaharu ketegangan ini dikaitkan dengan tindakan berani STC mengumumkan “perlembagaan” bagi wilayah selatan Yaman pada Jumaat. Ketua STC, Aidarous al-Zubaidi, dalam satu kenyataan video berkata perlembagaan itu akan berkuat kuasa selama dua tahun sebelum satu referendum diadakan.

“Semua pilihan kekal terbuka,” tegas Al-Zubaidi, memberi amaran sekiranya puak lain tidak bersetuju dengan seruan beliau atau mengambil tindakan ketenteraan.

Dokumen 30 artikel itu mengisytiharkan penciptaan “Negara Arab Selatan” (State of South Arabia), yang merangkumi wilayah bekas Republik Demokratik Rakyat Yaman yang wujud dari 1967 hingga 1990.


UAE sebelum dilaporkan menghantar pesawat C-17 Globemaster III untuk membawa keluar anggota tenteranya dari Yaman. /Foto: X/@afrimeosint


Duta Arab Saudi ke Yaman, Mohammed al-Jaber, meluahkan kekecewaan beliau menerusi platform X. Beliau menyatakan bahawa Riyadh telah mencuba pelbagai usaha diplomasi selama berminggu-minggu.

“Kami berdepan dengan kedegilan dan penolakan berterusan daripada Aidarous al-Zubaidi,” kata Al-Jaber.

Beliau menambah bahawa STC sebelum ini tidak membenarkan pesawat delegasi Saudi mendarat di Aden.

Sebagai tindak balas terhadap situasi ini, Kementerian Pengangkutan Yaman yang berpihak kepada STC mendakwa Arab Saudi telah mengenakan syarat bahawa semua penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Aden mesti menjalani pemeriksaan di Jeddah terlebih dahulu.

Menurut laporan AP, jurucakap kementerian itu mengumumkan penggantungan semua penerbangan dari dan ke UAE sehingga Arab Saudi menarik balik arahan tersebut. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply