Konflik yang melanda Timur Tengah semenjak 28 Februari lalu masih lagi dilihat tiada titik penghujung. Perkembangan yang begitu fluid dan pantas serta berskala besar telah menyebabkan begitu banyak perkara yang timbul.
Tambahan pula, kenyataan Tehran dan Washingston beberapa hari lalu di mana mereka enggan mengalah sudah tentu mencetuskan kebimbangan. Di pihak Tehran, pembunuhan Pemimpin Agung Iran ke-2, Ali Khomenei pada 28 Februari telah menyebabkan Iran tidak mempunyai alasan untuk tidak bertindak balas tanpa had.
Di pihak Washington pula, mereka mahu memaksa Iran untuk kembali ke meja rundingan berhubung program nuklear. Malah, Amerika Syarikat mahu melumpuhkan kekuatan Iran dari segi ketenteraan, pengaruh dan juga keupayaan untuk mengatur gerak kumpulan militia di rantau Timur Tengah.
Secara tidak langsung, konflik bersenjata ini dilihat akan terus berpanjangan.
Di sebalik kisah peperangan, kesan yang dirasai adalah masyarakat umum. Terutamanya pengembara dan pelancong yang terkandas. Ini berikutan keadaan tidak menentu yang merbahayakan operasi penerbangan komersial.
Ruang Udara Bertukar Menjadi Zon Tempur
Ketegangan geopolitik yang memuncak semenjak akhir Februari lalu mencetuskan kekacauan berskala besar dalam peta penerbangan komersial antarabangsa. Rentetan daripada pengaktifan operasi ketenteraan berintensiti tinggi seperti Operation Epic Fury, Operation Roaring Lion, dan Operation True Promise 4, sebahagian besar ruang udara di rantau tersebut kini telah diwartakan sebagai kawasan berisiko tinggi.
Bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini di ruang udara bergolak, pihak penerbangan perlu merujuk kepada sistem notis penerbangan yang dikenali sebagai NOTAM.
Fungsi dan Definisi NOTAM
Menurut takrifan rasmi Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), NOTAM atau Notice to Airmen merupakan sebuah amaran yang mengandungi maklumat penting kepada pihak yang terlibat dengan operasi penerbangan. Ia merangkumi maklumat yang tidak diketahui lebih awal untuk dihebahkan melalui saluran lain, merujuk kepada status tidak normal sesebuah komponen dalam sistem ruang udara. Maklumat taktikal ini diedarkan menggunakan bahasa dan singkatan khusus bagi menjadikan saluran komunikasi lebih cekap dan pantas.
Ia bukan sekadar makluman cuaca, sebaliknya ia turut bertindak sebagai perintah larangan atau panduan perubahan laluan yang wajib dipatuhi. Oleh yang demikian, setiap Juruterbang Memerintah (Pilot-in-Command) diwajibkan menyemak pangkalan data amaran ini sebelum meluluskan sebarang dokumen perlepasan pesawat di landasan.
Operasi penerbangan ruang udara bukanlah dilakukan secara sebarangan. Setiap laluan penerbangan mempunyai titik atau ‘waypoint‘ yang telah ditetapkan. Gambar:SkyVector
Faktor Pengeluaran Amaran di Zon Bergolak
Dalam konteks krisis mutakhir di Timur Tengah, deretan amaran udara ini dikeluarkan sebagai langkah drastik untuk mengosongkan trafik awam daripada lokasi aktiviti ketenteraan yang merbahaya. Peperangan pada abad ini sangat jelas melibatkan penembakan misil balistik antara benua, pelancaran dron tempur/dron sehala, dan pengaktifan sistem pertahanan udara automatik.
Pihak berkuasa penerbangan tempatan terpaksa menutup sektor ruang udara tertentu demi mewujudkan jarak selamat bagi menghalang pesawat penumpang daripada tersasar dan menjadi sasaran akibat kesilapan pengecaman radar darat.
Status Terkini Penutupan Ruang Udara Penerbangan.
Analisis daripada dokumen maklumat NOTAM yang disemak oleh Air Times sehingga 10 pagi hari ini menunjukkan penutupan ruang udara sepenuhnya di beberapa Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) strategik.
Penutupan ini bersifat sementara tertakluk kepada penilaian ancaman.
- Iran – Ruang udara ditutup sepenuhnyaOperasi untuk semua penerbangan awam antarabangsa digantung sepenuhnya menerusi NOTAM yang berkuat kuasa semenjak 6 Mac lalu. Sekatan terbaharu ini dijangka berlanjutan sehingga 4:30 petang 15 Mac 2026 waktu Malaysia, (0830 UTC EST).Notis terbaharu ini merupakan kesinambungan kepada siri notis penutupan udara Iran semenjak 28 Februari 2026. Semenjak serangan terhadap Tehran, Iran telah menutup ruang udaranya dan notis sekatan telah dikeluarkan beberapa kali semenjak permulaan konflik.
Pada ketika ini, kebenaran operasi penerbangan dalam Iran hanya diberikan kepada penerbangan perubatan, misi mencari dan menyelamat (SAR), serta pesawat ketenteraan.
- Iraq – Ruang udara ditutup sepenuhnya, dijangka tamat hari iniIraq merupakan antara negara yang paling terkesan dengan peperangan yang berlaku. Seperti Iran, Iraq telah menutup ruang udaranya semenjak 28 Februari lalu dengan siri notis semasa.Pada ketika ini, ruang udara negara itu masih lagi ditutup sehingga 5 petang hari ini (10 Mac 2026).
Akan tetapi, melihat kepada keadaan semasa, penutupan ruang udara Iraq dijangka akan berterusan. Ini memandangkan pertelagahan antara Iran-Israel masih belum kelihatan surut.
- Kuwait – Ruang udara ditutup secara berkala
Kuwait merupakan negara kecil yang berhadapan secara langsung dengan peperangan tercetus di antara Iran dan AS-Israel. Negara ini tidak terlepas menjadi sasaran tindak balas Iran yang menyasarkan misil balistik serta dron sehala terhadap lokasi berkepentingan.Pada ketika ini, Kuwait sedang menutup ruang udaranya semenjak 8 pagi hari ini. Arahan penutupan ini dilihat secara berkala dan dijangka berakhir pada 12 tengah malam nanti. - Emiriah Arab Bersatu (UAE) – Penutupan separa
Bagi FIR Emirates (OMAE), penutupan separa dilaksanakan melalui amaran Kawalan Keselamatan Kecemasan Trafik Udara (ESCAT) yang merangkumi pelbagai sektor koordinat.Amaran ini berkuat kuasa sehingga jam 8:00 malam waktu Malaysia, 16 Mac 2026 (161200 UTC EST).Pesawat masih dibenarkan beroperasi menerusi titik navigasi tertentu dengan syarat setiap operator wajib memohon slot waktu perlepasan sekurang-kurangnya dua jam sebelum sasaran masa berlepas.
- Qatar – Penutupan penuh bertukar separa
Ruang udara Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Doha kini sedang ditutup sepenuhnya kepada penerbangan awam sehingga jam 11:59 pagi ini waktu Malaysia (100359 UTC).Namun, bermula jam 12:00 tengah hari sehingga 8:00 malam ini (101200 UTC), Qatar akan mengaktifkan prosedur ESCAT. Pada tempoh ini, ruang udara Doha ditutup sepenuhnya kepada trafik lintas (overflying traffic). Hanya penerbangan yang mendarat dan berlepas dari lapangan terbang di dalam FIR Doha sahaja yang dibenarkan, itu pun terhad melalui titik navigasi khusus untuk ketibaan dan perlepasan. Kesemua pergerakan ini tertakluk kepada kelulusan awal daripada pihak berkuasa. - Bahrain – Penutupan ruang udara akan tamat pada hari ini
NOTAM terkini merekodkan penutupan penuh atas sebab operasi menerusi sehingga jam 12:00 tengah hari waktu Malaysia, 10 Mac 2026. Seperti negara-negara teluk yang lain, penutupan ruang udara dilakukan secara bersiri. Penutupan ini memberikan impak besar kepada aliran trafik udara di kawasan Teluk Parsi yang kini terhimpit antara sekatan ruang udara Iran dan prosedur kecemasan di Emirates - Syria – Penutupan sepenuhnyaRuang udara FIR Damsyik diisytiharkan tutup melalui semenjak 8 Mac lalu sehingga 11 Mac 2026, jam 5:00 pagi waktu Malaysia.
Pengecualian hanya diberikan bagi penerbangan yang menggunakan laluan tertentu ke Lapangan Terbang Aleppo.
- Israel – Tutup sehingga 16 Mac 2026, kecuali penerbangan ketenteraan dan penerbangan khas.

NOTAM menunjukkan gangguan navigasi di ruang udara utara Iraq. Selain itu, NOTAM ini menunjukkan penutupan ruang udara Iraq yang akan berakhir pada hari ini.
Gangguan navigasi
NOTAM yang diteliti turut mendapati terdapat perluasan gangguan elektronik. Difahamkan, gangguan elektronik ini melibatkan penyesakan (jamming) dan pemalsuan isyarat GPS serta GNSS. Gangguan sebegini sudah tentu akan menganggu gugat penerbangan dan juga keselamatan pesawat.
Sehingga kini, amaran gangguan isyarat elektronik terhadap GPS dan GNSS telah dikeluarkan di zon penerbangan Iraq, Lubnan, Oman, Qatar, dan UAE.
Arahan untuk membawa minyak tambahan
Akibat penutupan ruang udara secara berantai, koridor udara yang masih dibuka kini mengalami kesesakan luar biasa. Di ruang udara Emirates, prosedur penahanan trafik atau holding telah diaktifkan di titik-titik strategik. Pesawat diarahkan untuk berpusing dalam corak tertentu pada aras ketinggian dan kelajuan yang ditetapkan sementara menunggu giliran untuk meneruskan perjalanan.
Situasi ini menjelaskan mengapa arahan extra fuel (minyak tambahan) menjadi satu kemestian. Pesawat bukan sahaja perlu terbang mengikut laluan lebih jauh untuk mengelak zon perang, malah mereka perlu mempunyai simpanan bahan api yang mencukupi untuk menunggu di titik penahanan akibat kepadatan trafik yang melampau.
Selain itu, Jordan turut mengeluarkan arahan yang sama bagi menghadapi sebarang kemungkinan. – airtimes.my
Penafian: Rencana ini adalah berdasarkan himpunan NOTAM yang telah dikumpul pada jam 10:00 pagi, 10 Mac 2026 (Waktu Malaysia) dan bermatlamat untuk memberikan kefahaman umum kepada rakyat Malaysia. Situasi ruang udara dan konflik geopolitik adalah sangat dinamik serta tertakluk kepada perubahan pantas. Pihak pengurusan dan sidang pengarang Air Times tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kesan, kerugian, atau implikasi operasi akibat kebergantungan langsung kepada maklumat di dalam artikel ini untuk tujuan perancangan navigasi penerbangan sebenar. Pihak operator udara dan juruterbang diwajibkan merujuk saluran rasmi pihak berkuasa penerbangan bagi maklumat terkini.





