Home Semasa Agong berkenan terima menghadap Menteri Luar Arab Saudi

Agong berkenan terima menghadap Menteri Luar Arab Saudi

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap dan kunjungan hormat Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud di Istana Negara, hari ini.

Istana Negara dalam satu hantaran di media sosialnya berkata, majlis menghadap ini adalah antara agenda lawatan rasmi sulung Putera Faisal ke Malaysia, selama 2 hari bermula Selasa.

“Dalam sesi menghadap yang berlangsung selama 30 minit bermula pada jam 11.00 pagi ini, Seri Paduka Baginda dan Putera Faisal telah menyentuh berkenaan hubungan dua hala,

“Hubungan persahabatan yang utuh serta erat terjalin di antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi sejak tahun 1957 serta usaha-usaha pengukuhan perdagangan serta ekonomi antara kedua-dua negara,” katanya.

Turut berangkat ke sesi menghadap ini, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Tuan Yang Terutama Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Datuk Dr. Mahmoud Hussein Saeed Qattan dan Pegawai Yang Menjalankan Tugas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Amran Mohamed Zin.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan serta rasa suka cita terhadap hubungan akar umbi Malaysia dan Arab Saudi yang juga telah terjalin secara istimewa di dalam pelbagai aspek, termasuk sumbangan dan bantuan yang telah dihulurkan kepada Malaysia dalam memerangi penularan wabak COVID-19 serta pemulihan pasca pandemik,” ujarnya.

Menurut Istana Negara, kedua-dua pemimpin turut menyentuh berkenaan langkah meningkat dan memperkembangkan kerjasama serta pelaburan dalam pelbagai bidang.

Selain itu, kedua-dua pemimpin juga bertukar-tukar pandangan berkenaan isu serantau dan antarabangsa berkepentingan kepada kedua-dua negara.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi dengan jumlah kuota pasca pandemik COVID-19 yang diberikan kepada jemaah haji Malaysia dan juga harapan agar jemaah haji Malaysia dapat menjalankan ibadah serta urusan haji mereka dengan lancar,

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sukacita Arab Saudi merupakan antara negara pasaran terbesar eksport minyak kelapa sawit bagi Malaysia dan terdapat peningkatan permintaan terhadap komoditi tersebut,

“Pada tahun 2021, jumlah eksport minyak kelapa sawit Malaysia ke Arab Saudi bernilai RM1.763 bilion (USD 0.5 billion),” jelas Istana Negara.

Selain itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada Putera Faisal atas jemputan kepada Baginda untuk mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply