Home Teknologi Pertahanan #TeknologiPertahanan: Arab Saudi pilih UAV berkeupayaan pesawat tempur dari Turkiye

#TeknologiPertahanan: Arab Saudi pilih UAV berkeupayaan pesawat tempur dari Turkiye

by M.Daim

RIYADH, 20 JUL – Arab Saudi telah memilih untuk membeli sejumlah pesawat tanpa pemandu tempur (Unmanned Combat Aerial Vehicle, UCAV) Akinci dari Turkiye.

Perjanjian perolehan UCAV keluaran Turkiye itu telah dimeterai di antara pengeluar Akinci, Baykar dengan Kementerian Pertahanan Arab Saudi.

Menurut media rasmi kerajaan Arab Saudi, perolehan tersebut merupakan salah satu langkah ke hadapan oleh negara itu untuk membangunkan industri pertahanannya.

“Kontrak perolehan ini mengutamakan penglibatan syarikat tempatan dan kerajaan dalam industri dron,

“Syarikat pertahanan nasional akan terlibat dalam usaha ini,” lapor Saudi Press Agency.

Tambah laporan itu, kontrak tersebut turut menekankan perihal latihan, khidmat sokongan, teknologi dan pemindahan pengetahuan serta pembangunan keupayaan industri Arab Saudi.

“Perolehan ini turut membuka peluang pekerjaan kepada anak muda Arab Saudi dan menyumbang kepada usaha kerajaan dalam memastikan 50 peratus peruntukan pertahanan dibelanjakan dalam negara mulai 2030,” katanya.

Sementara itu, media Turkiye menyatakan perolehan tersebut merupakan satu detik bersejarah kerana ianya merupakan yang terbesar pernah dilakukan dengan Arab Saudi.

Menurut pihak Baykar, Akinci telah beroperasi di 4 buah negara NATO dan 2 anggota Kesatuan Eropah (EU).

Akinci merupakan salah satu platform UAS yang dikeluarkan oleh Baykar dan berupaya untuk melaksanakan pelbagai misi.

Ia dilengkapi dengan kecerdasan buatan (artificial intelligence) avionik.

Menurut syarikat Baykar, Akinci berupaya untuk melaksanakan operasi sama seperti jet pejuang.

“Ia dilengkapi dengan sistem sokongan elektronik, sistem komunikasi serta radar,

“UCAV ini berupaya untuk menggempur sasaran permukaan dan udara,” jelas Baykar di laman rasmi mereka. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply