Home Semasa Dakwaan Muhyiddin, delegasi tak vaksin COVID-19 ketika umrah tidak benar

Dakwaan Muhyiddin, delegasi tak vaksin COVID-19 ketika umrah tidak benar

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Pejabat bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwan menyatakan beliau dan delegasi tidak mendapat suntikan vaksin COVID-19 atau Meningococcal Meningitis ketika mengerjakan ibadah umrah pada Mac tahun lalu adalah tidak benar.

Pegawai Khas Muhyiddin, Mohd Naaim Mahmod berkata, Muhyiddin dan semua delegasi telah menerima suntikan dos pertama vaksin untuk COVID-19 sebelum berangkat ke Arab Saudi serta suntikan kedua vaksin sekembali ke tanah air, manakala vaksin Meningococcal Meningitis tidak diwajibkan.

“Dakwaan Ustaz Abu Syafiq bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan delegasi tidak mendapat suntikan vaksin COVID-19 atau vaksin Meningococcal Meningitis ketika mengerjakan ibadah umrah pada bulan Mac 2021 adalah tidak benar,

“Pada masa itu, kerajaan Malaysia dan Arab Saudi tidak mengenakan syarat lengkap suntikan vaksin COVID-19 atau vaksin lain untuk mana-mana pengembara yang ingin melakukan perjalanan ke Arab Saudi,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial Muhyiddin, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Naaim berkata, lawatan kerja rasmi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke Arab Saudi diadakan atas undangan kerajaan Arab Saudi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Termasuk melakukan ujian PCR sebelum, semasa dan selepas lawatan. Hasil ujian PCR mendapati semua delegasi adalah negatif COVID-19,

“Pergerakan delegasi di Arab Saudi juga dikawal ketat oleh pihak berkuasa Arab Saudi di dalam suatu gelembung perjalanan (travel bubble) yang telah ditetapkan,” jelasnya.

Terdahulu, Ustaz Abu Shafiq menerusi laman sosialnya mendakwa Muhyiddin dan semua delegasi tidak mendapat vaksin Meningococcal Meningitis ketika mengerjakan umrah pada Mac tahun lalu. -airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply