Home Pertahanan dan Keselamatan Kem baharu Tentera Darat di Lahad Datu dibina tahun ini – Hishammuddin

Kem baharu Tentera Darat di Lahad Datu dibina tahun ini – Hishammuddin

by Nurulhuda

TAWAU, 14 Jan – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien menjelaskan, pembinaan kem baharu Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan kos yang dianggarkan sebanyak RM646.15 juta di Felda Sahabat, Lahad Datu akan dimulakan pada tahun ini.

Beliau berkata, pembinaan kem TDM itu adalah satu daripada 2 inisiatif baharu yang dilaksanakan bagi memperkasakan keselamatan dan pertahanan di Sabah.

“Dalam masa terdekat ini, satu kem baharu bagi TDM akan dimula pembinaannya di Felda Sahabat di Lahad Datu,

“Ini bukan kerana digembar-gemburkan baru-baru ini di Parlimen, kerana nak dapatkan keputusan-keputusan daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan prosesnya mengambil masa tetapi saya sengaja tak nak menjawab, tetapi kita umumkan di Lahad Datu kem yang nilainya RM646,156,000 telah diperuntukkan bagi melaksanakan kem ini,” dalam sidang akhbar sempena lawatannya ke Markas Angkatan Tugas Bersama (ATB 2), pada Jumaat.

“Tujuan utama pembangunan kem baharu ini adalah untuk memindahkan satu batalion infantri dan unit-unit 13 Briged,

“Ini sebahagian usaha bagi meningkatkan lagi tahap keupayaan dan kesiapsiagaan TDM dalam menangani ancaman semasa sekaligus mengukuhkan lagi tahap keselamatan di pantai timur Sabah,” tambahnya.

Sementara itu, bagi merancakkan semula dan memperkasakan lagi inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) antara angkatan tentera Malaysia, Indonesia dan Filipina, satu perbincangan akan diadakan pada 27 Januari ini.

Jelasnya, Menteri Pertahanan dari 3 negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina akan bertemu bagi berbincang pengukuhan mengenai TCA dalam meningkatkan kawalan keselamatan di Laut Sulu, Sulawesi serta Pantai Timur Sabah.

“Sebelum ini saya telah menyuarakan hasrat untuk mengukuhkan TCA melibatkan kerjasama angkatan tentera negara berkenaan kepada rakan sejawatnya di Indonesia dan Filipina,

“Saya telah suarakan hasrat ini kepada rakan sejawat saya di kedua-dua negara berkenaan dan mereka telah menyatakan persetujuan,

“Sehubungan itu, satu pertemuan peringkat Menteri Pertahanan Malaysia, Indonesia dan Filipina akan diadakan pada 27 Januari ini bagi membincangkan perancangan mengenainya,” ujarnya.

Tambahnya, hasrat meningkatkan tahap keselamatan di Laut Sulu dan Sulawesi ini turut disuarakan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dalam pertemuan kami semalam.

“InsyaAllah, saya akan bawa hasrat beliau semasa pertemuan bersama Menteri Pertahanan dua negara berkenaan 27 Januari ini,” katanya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply