ABU DHABI, 3 Feb – Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian menegaskan Israel merupakan ancaman kepada semua negara dan juga global.
Beliau menyatakan perkara tersebut semasa perbualan telefon dengan rakan sejawatannya dari UAE, Sheikh Abdullah Zayed Sultan Al Nahyan.
“Kita perlu menghalang pihak yang bertanggungjawab di sebalik krisis di rantau ini dari mendapat peluang untuk mencipta krisis baharu,” kata Hossein dipetik oleh media Iran.
Dalam pada itu, beliau menyatakan Tehran bersedia untuk meluaskan lagi hubungan dengan UAE dengan melihat situasi semasa diplomatik antara kedua-dua negara.
Mengulas isu peperangan di antara Yaman dan UAE, Hossein menyatakan peperangan, konflik dan pertelingkahan di rantau itu tidak akan membawa faedah kepada mana-mana pihak.
Sementara itu, Sheikh Abdullah menyatakan UAE menyeru semua pihak di Yaman untuk mencapai penyelesaian politik dengan bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. – airtimes.my