Home Semasa 2 anggota Navy Seals dikhuatiri hilang di Teluk Aden

2 anggota Navy Seals dikhuatiri hilang di Teluk Aden

by M.Daim

WASHINGTON, 14 JAN – Seramai 2 orang anggota komando Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy), Navy Seals dilaporkan hilang di Teluk Aden.

Difahamkan 2 anggota pasukan khusus U.S Navy itu hilang semasa melaksanakan misi di luar pesisir Somalia.

Media antarabangsa memetik kenyataan 3 pegawai tentera Amerika Syarikat yang mengesahkan insiden menimpa Navy Seals di kawasan perairan Teluk Aden.

“Kedua-dua anggota Navy Seals terbabit terlibat dalam misi sekatan (interdiction) dan menaiki vesel,

“Ketika kejadian, salah seorang anggota komando terbabit telah jatuh ke laut akibat ombak tinggi,” kata laporan AP.

Menurutnya, seorang anggota Navy Seals bertindak terjun ke laut untuk menyelamatkan rakannya, mengikut protokol pasukan berkenaan.

Kedua-dua anggota pasukan khusus US Navy itu gagal dikesan sehingga ke hari ini.

Sementara itu, pihak U.S Central Command (US Centcom) mengesahkan 2 orang anggota US Navy dilaporkan hilang semasa melaksanakan satu misi di luar pesisir negara Afrika itu.

Kenyataan tersebut tidak menyatakan sebarang identiti mahupun status keanggotaan kedua-dua individu terbabit.

“Operasi mencari dan menyelamat sedang dilaksanakan bagi mencari kedua-dua mangsa,

“Atas sebab keselamatan operasi, kami tidak akan memberikan perincian maklumat sehingga operasi menyelamat selesai,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, kedua-dua anggota U.S Navy terbabit telah bertugas di kawasan Armada ke-5 Amerika Syarikat (U.S 5th Fleet) bagi melaksanakan pelbagai misi.

Operasi sekatan seringkali dilaksanakan oleh Amerika Syarikat di kawasan perairan yang menjadi titik panas kegiatan pelanunan.

Selain itu, kawasan perairan Teluk Aden turut menjadi laluan penyeludupan manusia dan senjata. – airtimes.my

#AirTimes #Global

Related Articles

Leave a Reply