Home SemasaGlobal Tentera Singapura sertai pasukan antarabangsa kawal keselamatan Laut Merah

Tentera Singapura sertai pasukan antarabangsa kawal keselamatan Laut Merah

by M.Daim

SINGAPURA, 9 JAN – Angkatan Tentera Singapura (SAF) akan menyertai pasukan gabungan antarabangsa bagi memastikan keselamatan laluan perkapalan di Laut Merah.

Pasukan gabungan antarabangsa, Operation Prosperity Guardian telah dibentuk pada Disember tahun lalu berikutan serangan Houthi terhadap kapal-kapal yang melalui perairan itu.

Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen menyatakan penglibatan anggota SAF merupakan komitmen Singapura dalam memastikan kebebasan berlayar di Laluan Komunikasi Laut (SLOC).

“Negara pesisir, negara pengguna dan komuniti antarabangsa semuanya memainkan peranan dalam memastikan keselamatan maritim,

“Singapura secara konsisten menyokong usaha masyarakat antarabangsa untuk memastikan SLOC utama di seluruh dunia kekal selamat dan terbuka,” katanya.

Kenyataan Dr Ng turut disiarkan oleh Kementerian Pertahanan Singapura di akaun media sosial rasmi mereka.

Operation Prosperity Guardian merupakan usaha antarabangsa yang diletakkan dibawah Combined Task Force (CTF) 153: Red Sea Maritime Security.

Singapura telah menyertai CMF yang dianggotai 39 buah negara semenjak 2009. Selain itu, SAF turut terlibat dalam CTF 151 yang bertanggungjawab dalam menentang kegiatan pelanunan di Teluk Aden.

Houthi telah melancarkan beberapa siri serangan terhadap kapal-kapal di Laut Merah semenjak 19 Oktober 2023 lalu.

Jurucakap Houthi pada tahun lalu menyatakan pihaknya akan menjejak, mengesan dan menahan mana-mana kapal yang mempunyai kaitan dengan Israel di Laut Merah.

“Angkatan Bersenjata Yaman mengesahkan komitmen penuh mereka untuk meneruskan pergerakan perdagangan global melalui Laut Merah dan Laut Arab untuk semua kapal dari semua negara kecuali kapal yang dikaitkan dengan Israel atau yang akan mengangkut barang ke pelabuhan Israel,

“Angkatan Tentera Yaman akan melaksanakan keputusan ini dari saat kenyataan ini diumumkan,” kata jurucakap Houthi, Yahya Saree pada 9 Disember lalu.

Menurut beliau, tindakan Houthi adalah sebagai langkah untuk menentang Israel dalam peperangan di Gaza.

Pada 19 November 2023, sebuah kapal pengangkut kenderaan, GALAXY LEADER telah ditawan oleh Houthi dengan menggunakan helikopter. Kapal tersebut telah dibawa ke Hodeidah, Yaman.

Selain itu, sebanyak 18 serangan direkodkan terhadap kapal dagang di Laut Merah. Angka tersebut merangkumi penawanan kapal Galaxy Leader. Selain ditawan, Houthi melancarkan serangan dron dan peluru berpandu anti kapal.

Media Singapura menyatakan penglibatan SAF adalah merangkumi sepasukan anggota tentera laut dari Pusat Maklumat Gabungan (Information Fusion Centre).

Penyertaan anggota Tentera Laut Singapura (Republic of Singapore Navy, RSN) adalah untuk membantu dalam perkongsian maklumat.

Selain itu, satu pasukan perancang dari SAF turut dihantar bagi bekerjasama dengan negara-negara lain dalam perancangan operasi.

Dalam pada itu, Dr Ng menyatakan pihak SAF telah menerima jemputan dari Angkatan Tentera Perancis untuk menghantar 2 petugas perubata ke kapal FS DIXMUDE.

Kapal kelas Mistral itu telah berlabuh di Pelabuhan El Aris, Mesir. FS Dixmude bertindak sebagai kapal hospital dan digunakan untuk merawat mangsa dari Gaza.

Sebelum ini, Singapura telah menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui Pasukan Bulan Sabit Merah Mesir pada 30 November 2023. – airtimes.my

#AirTimes #Singapura #Global

Related Articles

Leave a Reply