KUALA LUMPUR, 22 JAN – Tentera Amerika Syarikat hari ini mengesahkan 2 anggota komando US Navy Seals terbunuh di Teluk Aden.
Perkara tersebut dinyatakan oleh pihak US Central Command (US CENTCOM) yang mengulas kejadian kehilangan 2 anggota pasukan itu di kawasan perairan luar pesisir Somalia pada 11 Januari lalu.
Menurutnya, kedua-dua anggota komando itu gagal dikesan selepas 10 hari operasi pencarian dilaksanakan.
“Operasi mencari dan menyelamat telah tamat,” kata US CENTCOM di akaun media sosial rasminya.
Jelas US Centcom, operasi kini telah memasuki fasa baharu iaitu mencari dan membawa pulang mayat mangsa, sekiranya ditemui.
Operasi pencarian telah dilaksanakan melalui platform laut dan udara. Selain itu, ia melibatkan aset-aset Amerika Syarikat, Jepun dan Sepanyol.
“Operasi pencarian dilaksanakan di kawasan yang mempunyai keluasan lebih 21 ribu batu persegi,” katanya.
Terdahulu, 2 anggota US Navy Seals dilaporkan terjatuh ke dalam laut semasa melaksanakan misi pemintasan terhadap sebuah dhow (kapal tradisional) yang didakwa menyeludup senjata dari Iran.
Operasi pemintasan kerap dilaksanakan di kawasan perairan tersebut oleh pihak Amerika Syarikat bagi menyekat aktiviti penyeludupan terutamanya senjata dari Iran.
Dalam kejadian malam 11 Januari lalu, Tentera Laut Amerika Syarikat telah melancarkan operasi memintas sebuah dhow yang disyaki menyeludup senjata Iran ke Houthi.
Sepasukan anggota US Navy Seals telah dihantar dari kapal USS LEWIS B PULLER dengan menggunakan helikopter. Operasi ini turut melibatkan sokongan dari pesawat tanpa pemandu (UAS).
Ketika menaiki dhow tersebut, salah seorang anggota US Navy Seals telah terjatuh ke laut akibat ombak tinggi. Seorang lagi anggota US Navy Seals bertindak terjun bagi menyelamatkan rakannya.
Semenjak hari kejadian, kedua-dua mangsa gagal ditemui sehingga ke hari ini.
Rampasan pertama
Operasi yang dilaksanakan oleh Amerika Syarikat pada 11 Januari lalu merupakan rampasan pertama dilakukan semenjak Houthi melancarkan serangan di Laut Merah.
Dalam operasi tersebut, US Navy Seals telah menemui komponen misil balistik dan peluru berpandui kruis.
Ia juga rampasan pertama melibatkan kedua-dua persenjataan tersebut semenjak operasi pemintasan dilaksanakan bermula November 2019.
“Ianya jelas menunjukkan Iran telah membekalkan senjata kepada Houthi,
“Selain itu, ini juga merupakan bukti bahawa Iran begitu aktif untuk menimbulkan situasi yang tidak stabil di rantau Asia Barat,” kata komander US CENTCOM, Jeneral Michael E. Kurilla.
Houthi sebelum ini telah dikenakan sekatan pembekalan, penjualan dan pemindahan persenjataan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 2015.
Ia dilakukan melalui Resolusi 2216 Majlis Keselamatan PBB (USNC). – airtimes.my
#AirTimes #Global #Yaman #TelukAden