KUALA LUMPUR, 16 JAN – Ketegangan di kawasan Laut Merah masih lagi memuncak apabila sebuah kapal pukal kering (dry bulk carrier) dilaporkan terkena tembakan misil.
Kejadian dilaporkan berlaku di Teluk Aden oleh UK Maritime Trade Operations (UKMTO).
Lantaran dari insiden tersebut, UKMTO telah mengeluarkan amaran berjaga-jaga kepada kapal yang melalui perairan tersebut.
“UKMTO telah menerima laporan berhubung insiden yang berlaku 95 batu nautika tenggara Teluk Aden, Yaman,
“Kapal dilaporkan terkena tembakan oleh misil. Kapal yang melalui perairan ini dinasihatkan untuk berlayar dengan penuh berjaga-jaga,” katanya.
Sementara itu, pihak US Central Command (US CENTCOM)mengesahkan insiden tersebut.
Menurutnya, kejadian berlaku pada 4 petang 15 Januari waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia).
“Pihak Houthi telah melancarkan misil balistik anti kapal dari Yaman dan mengenai kapal M/V Gibraltar Eagle,” katanya.
Sementara itu, pihak syarikat pemilik M/V Gibraltar Eagle menyatakan kapal tersebut mengalami kebakaran dan kerosakan kecil akibat tembakan tersebut.
Amerika Syarikat dan United Kingdom sebelum ini telah melancarkan serangan udara terhadap Yaman bagi menghentikan ancaman Houthi di Laut Merah. – airtimes.my
#AirTimes #Yaman #Global #LautMerah #UKMTO
