CARACAS, 3 Jan – Beberapa siri letupan yang dipercayai berpunca daripada serangan udara telah menggegarkan ibu negara Venezuela, Caracas. Letupan yang menggemparkan penduduk itu telah mencetuskan panik di kalangan orang awam.
Susulan itu, kerajaan Presiden Nicolas Maduro telah mengisytiharkan darurat di seluruh Venezuela.
Serangan dilaporkan berlaku seawal pukul 2.00 pagi (2.00 petang waktu Malaysia). Deruman pesawat terbang rendah dan bunyi helikopter dilaporkan kedengaran di ruang udara Caracas.
Stesen televisyen tempatan dan media sosial menunjukkan Pangkalan Udara La Carlota (Generalissimo Francisco de Miranda), yang terletak di tengah-tengah Caracas, antara yang menjadi sasaran serangan.
Media antarabangsa memetik sumber tempatan yang menyatakan letupan turut kedengaran di kawasan Kementerian Pertahanan Venezuela, kem tentera dan pelabuhan La Guaira. Sebahagian besar kawasan Caracas dilaporkan bergelap tidak lama selepas serangan berlaku.
Sementara itu, Presiden Colombia, Gustavo Petro dalam satu hantaran di platform media sosial X mendakwa Caracas sedang dihujani bom pada ketika ini.
“Amaran kepada seluruh dunia, mereka telah menyerang Venezuela dengan pengeboman peluru berpandu,” tegas Petro, yang turut menyeru supaya satu sidang tergempar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan segera.
Kerajaan Venezuela, menerusi satu kenyataan yang dipetik oleh Reuters, mengutuk serangan tersebut sebagai “pencerobohan ketenteraan imperialis” dan secara langsung menuduh Amerika Syarikat (AS) menjadi dalang serangan tersebut.
Insiden ini berlaku di tengah-tengah ketegangan yang memuncak sejak beberapa bulan lalu. Menurut data yang dikeluarkan oleh pentadbiran Trump pada Jumaat lalu, tentera AS telah melancarkan lebih 35 serangan ke atas bot-bot yang didakwa menyeludup dadah di Laut Caribbean dan Pasifik Timur sejak September lepas. Siri serangan itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 115 orang.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) AS sebelum ini telah mengeluarkan notis larangan pesawat awam AS daripada memasuki ruang udara Venezuela, menandakan situasi keselamatan yang semakin meruncing. – airtimes.my
