CARACAS, 6 DIS – Rantau Amerika Selatan mungkin berhadapan dengan ancaman peperangan berikutan perebutan kawasan di antara Venezuela dan Guyana.
Kedua-dua negara berjiran itu mempunyai tuntutan bertindih terhadap wilayah Esequiba (Essequibo) di kawasan barat Guyana.
Kawasan berkeluasan 159,500 kilometer persegi itu dilaporkan mempunyai sumber asli minyak dan ditadbir oleh Guyana yang juga merupakan negara anggota Komanwel.
Presiden Venezuela, Nicolas Maduro telah mengusulkan kepada pihak parlimen di negara itu untuk mengisytiharkan Esequiba sebagai wilayah baharu.
Ia dibuat selepas referendum yang diadakan pada Ahad lalu menunjukkan 95 peratus penduduk Venezuela bersetuju sekiranya kerajaan mereka mengambil alih wilayah itu dari Guyana.
Pada masa yang sama, Maduro telah mengarahkan peta baharu Venezuela diterbitkan dengan meletakkan Esequiba sebagai salah satu wilayahnya.
Sementara itu, Brazil telah mempertingkatkan kehadiran tentera mereka di kawasan sempadan berikutan perkembangan baharu di antara Venezuela dan Guyana.
Selain kehadiran anggota tentera, Brazil turut menghantar sejumlah kenderaan berperisai di kawasan sempadan negara itu dengan Venezuela dan Guyana.
Ini kerana kawasan Brazil mempunyai satu-satunya laluan jalan darat yang menghubungkan Venezuela dan Esequiba di Guyana. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Brazil #Global