Sejak beberapa hari lalu, dunia dikejutkan dengan penahanan Presiden Venezuela, Nicolás Maduro oleh pasukan operasi khas Amerika Syarikat yang telah menyusup masuk ke Caracas dan membawanya ke New York bagi menghadapi pertuduhan jenayah.
Namun, kejutan sebenar bukan sekadar penangkapan tersebut, tetapi pengumuman susulan dari Rumah Putih yang jauh lebih radikal dan tidak pernah berlaku dalam sejarah pasca Perang Dingin.
Presiden Donald Trump, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, secara terbuka mengisytiharkan bahawa Amerika Syarikat akan “mengambil alih pentadbiran” Venezuela buat sementara waktu. Langkah ini dilihat sebagai satu bentuk pemerintahan pemegang amanah secara de facto, bertujuan memastikan peralihan kuasa yang selamat dan teratur di Caracas.

Presiden Venezuela, Nicolás Maduro ditahan oleh pasukan operasi khas Amerika Syarikat dalam operasi Absolute Resolve./Foto: Reddit
Trump menegaskan bahawa Washington akan mengawal selia negara Amerika Selatan itu sehingga satu kerajaan yang stabil dan mesra kepentingan AS dapat dibentuk. Ini bukan lagi sekadar campur tangan ketenteraan atau operasi polis antarabangsa, ini adalah manifestasi jelas penguasaan langsung ke atas sebuah negara berdaulat yang memiliki rizab minyak terbesar dunia.
Implikasi strategi ini sangat mendalam, Trump telah menyatakan bahawa syarikat-syarikat minyak gergasi Amerika Syarikat akan dibawa masuk segera untuk memulihkan infrastruktur minyak Venezuela yang telah lama lumpuh. Hasil pendapatan daripada penjualan minyak tersebut pula dilaporkan akan digunakan untuk menampung kos operasi pemulihan dan pentadbiran sementara AS di sana.
Dalam bahasa strategi pertahanan, tindakan ini menandakan kebangkitan semula apa yang boleh dipanggil sebagai “Doktrin Monroe 2.0” yang jauh lebih agresif di mana AS tidak lagi sekadar menghalang campur tangan kuasa luar di Hemisfera Barat, tetapi bertindak sebagai pentadbir mutlak apabila kepentingan mereka terancam.

Presiden AS, Donald Trump menegaskan bahawa Washington akan mentadbir Venezuela sehingga satu kerajaan yang stabil dan mesra kepentingan AS dapat dibentuk./Foto: The White House
Situasi di lapangan kini sangat kompleks. Walaupun Mahkamah Agung Venezuela telah melantik Naib Presiden, Delcy Rodríguez, sebagai pemangku presiden, realiti kuasanya kini amat terhad. Pentadbiran Trump telah memberi isyarat bahawa sebarang kepimpinan sementara di Caracas perlu “bekerjasama sepenuhnya” dengan arahan Washington atau berhadapan risiko tindakan lanjut.
Ini meletakkan sisa-sisa kerajaan Venezuela dalam keadaan tersepit, mereka secara teknikalnya masih wujud, namun “butang kawalan” kini berada di tangan Amerika Syarikat. Keadaan ini mewujudkan satu duluan berbahaya dalam undang-undang antarabangsa, di mana kedaulatan negara dilihat boleh dibatalkan secara unilateral atas alasan keselamatan dan pemulihan ekonomi.
Bagi sekutu tradisi Venezuela seperti Rusia dan China, perkembangan ini adalah satu tamparan hebat. Mereka kini berdepan dilema strategik sama ada untuk mencabar penguasaan AS secara terbuka yang akan berisiko mencetuskan konflik berskala besar atau menerima hakikat bahawa pengaruh mereka di Amerika Latin telah dipotong secara drastik.
Moscow dan Beijing pasti sedang menilai opsyen tindak balas asimetri di kawasan konflik lain, mungkin di Eropah Timur atau Laut China Selatan, sebagai mesej balas kepada Washington. Dunia kini berada dalam situasi yang sangat meruncing, di mana salah percaturan boleh mencetuskan konflik terbuka antara kuasa-kuasa besar nuklear.

China mengutuk penahanan AS ke atas Maduro./Foto: Handout
Kesan ekonomi daripada pengambilalihan ini juga tidak boleh dipandang ringan oleh negara seperti Malaysia. Walaupun kemasukan syarikat AS mungkin menstabilkan pengeluaran minyak Venezuela dalam jangka masa panjang, fasa peralihan ini penuh dengan ketidaktentuan.
Sebarang sabotaj oleh penyokong setia Maduro atau konflik bersenjata di tapak telaga minyak boleh menyebabkan lonjakan harga minyak mentah global secara mendadak. Kenaikan harga tenaga akan memberi tekanan inflasi kepada ekonomi dunia yang baharu sahaja cuba pulih daripada ketidaktentuan tahun sebelumnya.
Kesimpulannya, episod Januari 2026 ini menandakan berakhirnya era diplomasi sopan santun. Kita kini memasuki fasa hubungan antarabangsa yang lebih kasar di mana “kuasa adalah kebenaran”.
Tindakan Amerika Syarikat ini bukan sahaja menangkap ketua negara asing, tetapi juga mengisytiharkan pengambilalihan pentadbiran sementara, menunjukkan bahawa peraturan permainan geopolitik telah berubah sepenuhnya.
Bagi negara kecil dan sederhana, perkembangan ini menuntut kebijaksanaan diplomasi yang tinggi untuk mengemudi bahtera negara di tengah-tengah gelombang kuasa besar yang semakin tidak mempedulikan batas. -airtimes.my
#AS #Venezuela #geopolitik #global #Airtimes
