Home SemasaGlobalHun Sen jamin tentera Kemboja beri keutamaan kepada penyelesaian damai

Hun Sen jamin tentera Kemboja beri keutamaan kepada penyelesaian damai

by M.Daim
A+A-
Reset

PHNOM PENH, 9 Jun – Presiden Senat Kemboja, Hun Sen menegaskan bahawa pasukan tentera negaranya utamakan penyelesaian damai susulan ketegangan yang berlaku di sempadan dengan Thailand.

Sorotan Berita:
  • Hun Sen beri jaminan tentera Kemboja beri keutamaan kepada penyelesaian aman
  • Tentera Thailand dan Kemboja laras semula kedudukan pasukan di sempadan
  • Isu sempadan dibincang melalui saluran tentera dan diplomatik sejak insiden 28 Mei

Hun Sen mengulas perkembangan terkini selepas satu pertemuan antara pihak tentera Kemboja dan Thailand pada 8 Jun lalu.

Pertemuan itu menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju untuk melaras semula kedudukan pasukan masing-masing bagi meredakan ketegangan dan mengelakkan sebarang pertembungan baharu di kawasan sempadan.


Presiden Senat Kemboja, Hun Sen beri jaminan pasukan tenteranya komited terhadap penyelesaian secara aman FOTO: FB Pejabat Presiden Kemboja

Langkah tersebut diambil selepas ketegangan memuncak selepas insiden berbalas tembakan pada 28 Mei yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

“Melaras kedudukan tentera di kawasan berisiko menerusi persefahaman bersama antara komander kedua-dua negara adalah penting untuk mengelakkan pertempuran berskala besar,” kata Hun Sen menerusi kenyataan yang disiarkan di Facebook rasmi beliau.

Dalam kenyataan sama, Hun Sen turut mengulas sentimen awam yang bimbang akan kehilangan wilayah susulan rundingan tentera. Beliau menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa semua usaha yang dijalankan bertujuan memastikan kestabilan dan keamanan jangka panjang.

“Rakyat kedua-dua negara tidak mahu melihat berlakunya peperangan dan mahukan keamanan yang berkekalan,” katanya lagi.

Hun Sen turut menjelaskan bahawa proses penyelesaian telah digerakkan melalui pelbagai saluran termasuk rundingan antara pemimpin politik dan tentera barisan hadapan sejak insiden berlaku. Beliau menyifatkan rundingan tersebut kini mula menunjukkan hasil positif.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak kerajaan Kemboja kekal dengan pendirian bahawa penyelesaian damai adalah satu-satunya pendekatan berkesan bagi mengelakkan pertumpahan darah, serta mengekalkan hubungan diplomatik dan ketenteraan yang stabil dengan Thailand.

Terdahulu, Tentera Darat Diraja Thailand mengesahkan pihaknya dan tentera Kemboja telah bersetuju untuk meredakan ketegangan di kawasan sempadan kedua-dua negara. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply