Dalam landskap keselamatan global masa kini, kemunculan pesawat tanpa pemandu atau dron bukan lagi sekadar alat pemantauan, tetapi telah menjadi senjata berpotensi tinggi dalam konflik moden. Keupayaan dron untuk menyelinap, menyerang, dan mengumpul maklumat secara senyap telah mencabar keampuhan sistem pertahanan konvensional.
Justeru, teknologi Counter-Unmanned Aerial Systems (Counter-UAS) dihasilkan sebagai barisan pertahanan baharu bagi menangani ancaman dron, menandakan era baharu dalam pertahanan udara.
Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Turki, Israel dan Rusia kini berlumba membangunkan sistem Counter-UAS yang lebih canggih, ringan serta mudah digerakkan, bagi memastikan pasukan di barisan hadapan memiliki keupayaan pertahanan yang tangkas dan berkesan.
- Dron kini menjadi ancaman senyap dalam konflik moden — bukan sekadar alat pengintipan
- Radar mikro dan 3D aktif penting dalam pengesanan awal dron kecil
- Gangguan frekuensi radio bantu putuskan kawalan dron secara tepat
- Senjata laser dan gelombang mikro tawarkan pemusnahan senyap
- Jaring dan peluru berpandu mini masih relevan dalam persekitaran bandar
Radar mikro dan 3D aktif
Teknologi pengesanan menjadi tulang belakang dalam sistem Counter-UAS. Radar mikro dan radar aktif 3D merupakan antara sistem yang direka khusus untuk mengesan dron bersaiz kecil, yang sering terbang pada altitud rendah dan kelajuan perlahan.
Teknologi ini bukan sahaja mampu mengesan kehadiran dron, tetapi juga membezakan antara ancaman sebenar dan objek biasa seperti burung atau serpihan udara yang penting dalam mengelakkan amaran palsu yang boleh menggugat operasi.

Radar mikro AGT-3D-RD6000KU berperanan dalam sistem Counter-UAS dengan keupayaan mengesan dron kecil pada altitud rendah dan membezakan ancaman sebenar daripada gangguan biasa. PHOTO: ARGUSTEC
Gangguan frekuensi radio
Sistem gangguan frekuensi radio (RF jamming) berfungsi dengan menghantar pancaran sasaran atau gelombang omnidirectional tenaga radio yang akan memutuskan komunikasi antara pengendali dan dron.
Dengan gangguan frekuensi yang tepat, dron boleh kehilangan arah atau terpaksa mendarat secara automatik. Ini terbukti berkesan terhadap kebanyakkan dron yang tidak dilengkapi ciri keselamatan lanjutan.

DroneGun Tactical menggunakan gangguan frekuensi radio untuk memutuskan kawalan dron, memaksa ia mendarat atau hilang arah secara automatik. PHOTO: DRONEShield
Senjata laser dan gelombang mikro
Teknologi berasaskan tenaga arah seperti laser dan gelombang mikro turut menjadi tumpuan utama dalam membangunkan sistem pemusnah yang cekap dan bersih. Â Senjata laser, contohnya, boleh menyasarkan komponen penting pada dron seperti sistem penglihatan atau motor, menyebabkan ia tidak berfungsi dalam sekelip mata.

M113 naik taraf dengan Lite Beam Tactical Laser — senjata tenaga arah Rafael untuk pemusnahan dron secara senyap dan tepat. PHOTO: RAFAEL ADS
Begitu juga dengan senjata gelombang mikro berkuasa tinggi, yang mampu melumpuhkan sistem elektronik dalaman dron. Bayangkan satu pancaran tenaga yang boleh ‘mematikan’ dron tanpa sebarang peluru dilepaskan. Itulah gambaran masa depan yang kini sedang dibangunkan di makmal pertahanan dunia.
Jaring dan peluru pandu mini
Dalam senario tertentu, kaedah fizikal seperti penggunaan jaring atau peluru berpandu mini masih berkesan, terutama dalam persekitaran bandar.
Jaring boleh digunakan untuk menangkap dron tanpa memusnahkannya mengikut kesesuaian untuk tujuan siasatan atau perisikan.
Manakala peluru berpandu mini pula direka untuk memintas dan memusnahkan dron secara tepat, tanpa menjejaskan persekitaran sekeliling.
Sentiasa siap siaga
Ancaman tidak lagi datang dalam bentuk jet pejuang atau peluru berpandu sahaja. Dron bersaiz tapak tangan kini boleh membawa muatan maut dan menggugat keselamatan negara. Justeru, pelaburan dalam sistem Counter-UAS bukan sekadar pilihan, tetapi satu keperluan mutlak dalam era peperangan moden.
Dengan teknologi yang terus berkembang dan kos yang semakin menurun, peluang bagi negara-negara membangun untuk memiliki sistem pertahanan udara yang responsif dan berkesan semakin cerah. Apa yang penting, ialah kesedaran, perancangan dan kerjasama strategik demi memastikan ruang udara negara kekal selamat daripada ancaman yang senyap, namun berbahaya ini. – airtimes.my
