Home SemasaNahas UPSI: PM zahir dukacita, arah bantuan segera untuk keluarga mangsa

Nahas UPSI: PM zahir dukacita, arah bantuan segera untuk keluarga mangsa

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita susulan nahas tragis melibatkan sebuah bas dan beberapa kenderaan lain berhampiran Gerik awal pagi tadi, yang meragut nyawa 15 pelajar.

Dalam kenyataan menerusi laman sosial rasmi beliau, Perdana Menteri turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga semua mangsa dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini.

“Saya dan Azizah amat berdukacita menerima perkhabaran nahas tragis awal pagi tadi berhampiran Gerik yang melibatkan sebuah bas dan beberapa kenderaan lain, mengorbankan 15 pelajar,

“Takziah kepada semua keluarga mangsa. Kami mendoakan agar kalian diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini,” katanya.

Susulan kejadian itu, Anwar telah mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyelaras segala bentuk bantuan yang sewajarnya kepada keluarga mangsa terlibat.

“Saya telah arahkan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menyelaras bantuan sewajarnya buat keluarga mangsa,” tambah beliau.

Beliau turut menyeru agar tragedi menyayat hati seumpama ini dijadikan pengajaran kepada semua pihak supaya lebih berhati-hati ketika di jalan raya, dan tidak terburu-buru mengejar destinasi.

“Musibah menyayat hati sebegini yang sering kali berulang seharusnya menjadi pengajaran buat semua agar sentiasa berhati-hati dan usah terburu-buru mengejar destinasi. Nyawa kalian terlalu berharga dan tiada galang ganti,” jelasnya lagi.

Terdahulu, sekurang-kurangnya 15 mangsa disahkan maut dalam kemalangan tragis membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak awal pagi tadi.

Sumber Pusat Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Perak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.04 pagi.

Menurut kenyataan itu, sepasukan 17 anggota bersama 4 jentera dari Balai Bomba Gerik dan Balai Bomba Jeli dikejarkan ke lokasi kejadian bersama ambulans.

“Berdasarkan maklumat awal kejadian membabitkan 45 (43 pelajar UPSI Tanjung Malim, pemandu bas dan pembantu) serta 4 orang dari kenderaan Perodua Alza. Bas tersebut telah terbalik dan kereta telah terbabas ke dalam parit.

“Semasa jentera sampai didapati kemalangan melibatkan mangsa seramai 49 orang. Penumpang bas ada yang mengalami kecederaan. 3 mangsa dari Perodua Alza mengalami kecederaan ringan dan 1 mangsa mengalami patah tangan,” menurut kenyataan itu.-airtimes.my

#semasa #kemalangan #UPSI #airitmes #Gerik

 

Related Articles

Leave a Reply