Home Semasa15 pelajar UPSI maut, bas kemalangan di JRTB Gerik semasa pulang Aidiladha

15 pelajar UPSI maut, bas kemalangan di JRTB Gerik semasa pulang Aidiladha

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

GERIK, 9 JUN – 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka terbabit kemalangan di Kilometer 53 Jalan Jeli-Grik berhampiran Tasik Banding awal pagi tadi.

Lokasi kemalangan adalah selepas kawasan rehat dan rawat (RNR) Banjaran Titiwangsa.

Bas terbabit membawa pulang pelajar UPSI dari Terengganu ke kampus tersebut di Tanjung Malim sempena cuti Aidiladha.

Difahamkan 13 orang meninggal di tempat kejadian manakala 2 dalam perjalanan ke hospital setakat pukul 6 pagi tadi.

Kemalangan membabitkan bas berkenaan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang dinaiki empat orang.

Sumber Pusat Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Perak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.04 pagi.

Menurut kenyataan itu, sepasukan 17 anggota bersama 4 jentera dari Balai Bomba Gerik dan Balai Bomba Jeli dikejarkan ke lokasi kejadian bersama ambulans.

“Berdasarkan maklumat awal kejadian membabitkan 45 (43 pelajar UPSI Tanjung Malim, pemandu bas dan pembantu) serta 4 orang dari kenderaan Perodua Alza. Bas tersebut telah terbalik dan kereta telah terbabas ke dalam parit.

“Semasa jentera sampai didapati kemalangan melibatkan mangsa seramai 49 orang. Penumpang bas ada yang mengalami kecederaan. 3 mangsa dari Perodua Alza mengalami kecederaan ringan dan 1 mangsa mengalami patah tangan,” menurut kenyataan itu.

Operasi memberi bantuan kecemasan turut melibatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam.

Mangsa-mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat manakala mereka yang cedera juga dikejarkan ke hospital sama serta Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, insiden menyayat hati ini turut disahkan dalam laman Facebook Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff dengan tulisan ringkas ‘Segenap UPSI berduka’.

“UPSI akan memberikan bantuan sehabis baik terhadap semua pelajar yang yerlibat dalam kemalangan tersebut.

Mohon doakan kesejahteraan mereka semua.

Bagi keluarga mangsa boleh hubungi Hotline di talian 019 5719977 untuk bantuan & maklumat lanjut

Jutaan terima kasih atas doa & munajat kalian semua jua,”

Difahamkan satu sidang akhbar akan diberikan oleh Ketua Polis Negeri Perak pada pagi ini tentang kemalangan yang berlaku. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply