Home SemasaPresiden Duda adakan lawatan ulung rasmi ke Malaysia

Presiden Duda adakan lawatan ulung rasmi ke Malaysia

by M.Daim
A+A-
Reset

PUTRAJAYA, 9 JUN – Presiden Republik Poland, Andrzej Duda memulakan lawatan rasmi ke Malaysia hari ini yang dijadual berlangsung sehingga 11 Jun 2025. Lawatan ini merupakan kunjungan sulung beliau ke Malaysia sejak dilantik sebagai Presiden pada tahun 2015.

  • Fokus utama: Perkongsian strategik dalam industri pertahanan dan keselamatan
  • Malaysia dan Poland bincang peluasan kerjasama perdagangan serta sektor halal
  • Lawatan rasmi berlangsung semasa Poland memegang jawatan Presiden EU

Lawatan bersejarah ini diadakan ketika Malaysia sedang mempengerusikan ASEAN 2025, manakala Poland menyandang jawatan Presiden Majlis Kesatuan Eropah bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini. Presiden Duda diiringi oleh isteri beliau, Puan Agata Kornhauser-Duda, serta delegasi kanan kerajaan Poland.


Lawatan ulung Presiden Poland, Andrzej Duda bawa elemen strategik yang penting dalam kerangka ASEAN–EU dan juga Malaysia-Poland. PHOTO: Pejabat Presiden Poland

Wisma Putra dalam satu kenyataan, Presiden Poland akan menerima sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya pada 10 Jun, sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Malaysia.

Fokus utama rundingan dijangka tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama dalam industri pertahanan dan keselamatan, merangkumi potensi pemindahan teknologi, sistem sokongan logistik dan keupayaan penyelenggaraan bersama.

“Lawatan ini melambangkan hubungan erat dan mesra antara Malaysia dan Poland yang
berteraskan kepada prinsip saling menghormati dan kerjasama yang erat, sejak terjalinnya
hubungan diplomatik pada 21 Jun 1971,” kata Wisma Putra.

Perbincangan turut meliputi bidang perdagangan dan pelaburan, sektor halal, pertanian dan agrokomoditi. Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai perkembangan geopolitik serantau serta hubungan ASEAN–EU dalam menangani cabaran keselamatan dan kestabilan Indo-Pasifik.

Sebagai simbol hubungan erat antara kedua-dua negara, Perdana Menteri akan menghoskan majlis jamuan rasmi di Kompleks Seri Perdana. Presiden Duda juga akan melawat Rejimen Kedua Kor Armor Diraja di Kem Sunggala, Port Dickson, yang menandakan satu bentuk pengiktirafan kepada hubungan ketenteraan Malaysia–Poland, serta menyampaikan syarahan awam di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya.

Malaysia dan Poland menjalin hubungan diplomatik sejak 21 Jun 1971. Pada 2024, Poland merupakan rakan dagang ke-8 terbesar Malaysia dalam kalangan negara EU, dengan nilai dagangan dua hala berjumlah RM5.66 bilion, meningkat 19.5% berbanding tahun sebelumnya.


PT-91M merupakan varian PT-91 Twardy yang dihasilkan khusus untuk Tentera Darat Malaysia. PHOTO: Air Times/ M Daim

Lawatan ini turut membuka ruang bagi perluasan kerjasama industri pertahanan antara Malaysia dan Poland, termasuk potensi kerjasama pengeluaran bersama, pemindahan teknologi ketenteraan, serta sokongan penyelenggaraan dan logistik dalam sektor strategik.

Kedua-dua negara sebelum ini telah menjalin hubungan erat dalam bidang ketenteraan, antaranya melalui pemerolehan kereta kebal utama PT-91M Pendekar, yang kekal sebagai tulang belakang armor Angkatan Tentera Malaysia.

Selain itu, penggunaan sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) FlyEye dari Poland turut mencerminkan nilai strategik hubungan pertahanan dua hala kedua-dua negara. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply