Home SemasaGlobalTentera Thailand, Kemboja setuju redakan ketegangan di sempadan

Tentera Thailand, Kemboja setuju redakan ketegangan di sempadan

by M.Daim
A+A-
Reset

BANGKOK, 8 Jun – Ketegangan di kawasan sempadan Thailand semakin reda apabila tentera Kemboja telah bersetuju untuk berundur. Kata sepakat dicapai selepas satu perbincangan di antara kedua-dua pihak.

  • Kemboja bersetuju undur tentera ke kedudukan asal di Chong Bok
  • Langkah pemulihan termasuk timbus semula parit dan hentikan tindakan pengukuhan kedudukan
  • Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama (JBC) dijadual 14 Jun 2025

Jurucakap Tentera Diraja Thailand (RTA), Mejar Jeneral Winthai Suvaree berkata, pertemuan rasmi telah diadakan pada 8 Jun antara delegasi tentera Thailand dan Kemboja bagi membincangkan isu ketegangan di sempadan di kawasan Chong Bok.


Situasi sempadan Chong Bok kembali reda apabila kedua-dua tentera capai kata sepakat. PHOTO: ROYAL THAI ARMY

Delegasi Thailand diketuai oleh Mejar Jeneral Somphop Parawej, Komander Pasukan Petugas Suranaree, bersama Mejar Jeneral Nutt Sriin, Timbalan Komander Kawasan Tentera Ke-2. Manakala pihak Kemboja diwakili Leftenan Jeneral Saray Dek, Timbalan Komander Tentera Diraja Kemboja dan Komander Bahagian Sokongan Ketiga.

Menurut kenyataan RTA, hasil perbincangan telah menyaksikan Kemboja menyatakan persetujuan untuk menempatkan semula pasukan tentera ke kedudukan seperti pada tahun 2024. Langkah itu bertujuan mewujudkan suasana yang kondusif menjelang Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama (JBC) yang dijadual berlangsung pada 14 Jun 2025.

“Pihak Kemboja turut bersetuju untuk mengisi semula parit yang digali dan memulihkan kawasan berkenaan kepada keadaan asal seperti yang dicadangkan pihak Thailand,” jelas kenyataan itu.

Langkah ini dilihat penting untuk meredakan ketegangan dan mengukuhkan suasana kerjasama antara kedua-dua negara. Ia turut membolehkan perbincangan lanjut dilaksanakan dalam suasana aman dan terkawal, termasuk menerusi mekanisme Jawatankuasa Sempadan Tempatan.


Tentera Kemboja akan berundur dan menanam semula parit digali ketika ketegangan tercetus di kawasan sempadan. PHOTO: ROYAL THAI ARMY

Kedua-dua negara turut menyatakan komitmen untuk menggunakan saluran diplomatik dan kerjasama ketenteraan dua hala bagi mengurus isu-isu sempadan yang timbul pada masa akan datang secara berhemah. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply