LONDON, 24 APRIL – Tiada lagi penggunaan peranti ‘SIM farm’ di United Kingdom (UK) bermula hujung tahun ini bagi membanteras penipuan telefon bimbit yang semakin membimbangkan.
Kerajaan UK memaklumkan, peranti ini membolehkan penjenayah siber menghantar ribuan mesej penipuan serentak dengan menggunakan puluhan kad SIM yang dimuatkan dalam alat berkenaan, selain mencipta akaun palsu di media sosial secara besar-besaran.
“Larangan ini akan berkuat kuasa enam bulan selepas Rang Undang-Undang Jenayah dan Kepolisan menerima perkenan diraja. Pengharaman ini yang pertama seumpamanya di Eropah,” menurut kementerian dalam kenyataan berkenaan.
Mengulas lanjut, Timbalan Pengarah Bahagian Penipuan Agensi Jenayah Negara (NCA), Nick Sharp menyifatkan jenayah penipuan adalah yang paling berkemungkinan dialami oleh semua orang.
“Kami tahu bahawa penipuan secara besar-besaran difasilitasi oleh ladang SIM, yang membolehkan penjenayah menghubungi mangsa secara meluas dan mudah. Malah, ia memberi kesan emosi dan kewangan yang serius kepada mangsa,” katanya.
Sementara itu, kerajaan UK berkata, pengharaman ini akan menjadikan pemilikan atau penawaran peranti tersebut tanpa alasan kukuh sebagai satu kesalahan.
Difahamkan, hukuman denda tanpa had akan dilaksanakan di England dan Wales. Manakala Scotland dan Ireland Utara pula menetapkan kadar sehingga lebih RM29 ribu (£5,000).
Dalam pada itu, Ketua Keselamatan Korporat Vodafone UK, Rachel Andrews menegaskan, pengharaman “sim farm” merupakan langkah penting kerajaan dalam mencegah penipuan.
“Setakat tahun ini, kami telah menyekat lebih 38.5 juta mesej penipuan yang disyaki dan sepanjang tahun 2024, jumlah itu mencecah lebih 73.5 juta mesej. Jika dikira sejak 2023, industri telekomunikasi UK telah menyekat lebih satu bilion mesej penipuan,” tambahnya.
Setakat ini, sekurang-kurangnya dua pertiga rakyat dewasa UK pernah menerima mesej mencurigakan di telefon, iaitu bersamaan dengan lebih 35 juta orang.
Ini menjadikan kadar penipuan sudah mewakili lebih 40 peratus daripada jumlah keseluruhan jenayah di England dan Wales, dengan peningkatan 19 peratus berbanding tahun sebelumnya. -airtimes.my
#Scam #Penipuan #AirTimes #UK #Global