PUTRAJAYA, 24 April – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini memohon maaf secara terbuka susulan kesilapan paparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
KPM menyifatkan kesilapan itu sebagai satu kecuaian yang tidak boleh diterima memandangkan Jalur Gemilang merupakan simbol kedaulatan dan maruah negara.
Menyedari sensitiviti serta kepentingan perkara tersebut, KPM memaklumkan bahawa tindakan tegas dan serta-merta telah diambil terhadap semua pihak yang terlibat dalam insiden berkenaan.
Menurut kenyataan rasmi KPM, laporan bercetak yang mengandungi kesilapan telah diarahkan untuk dikembalikan, manakala proses pembetulan sedang dilaksanakan segera.

Foto tangkap layar yang memaparkan kesilapan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia hari ini.
Kementerian juga memaklumkan bahawa satu siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kecuaian serta memastikan perkara sama tidak berulang pada masa hadapan.
“Kecuaian ini tidak boleh diterima kerana Jalur Gemilang adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negara,” tegas kenyataan itu.
Insiden ini mencetuskan reaksi pantas dalam kalangan warganet yang mempersoalkan bagaimana kesilapan seumpama itu boleh berlaku dalam dokumen rasmi kementerian yang melibatkan keputusan peperiksaan penting negara.
Ada yang menyifatkannya sebagai mencalar imej institusi pendidikan, sementara yang lain meminta agar tindakan susulan tidak sekadar amaran.
KPM dalam kenyataannya memberi jaminan bahawa ketelitian akan dipertingkatkan dalam proses penyediaan dokumen rasmi selepas ini agar insiden yang sama tidak berulang, sekaligus menjaga integriti kementerian dan penghormatan terhadap simbol negara.–airtimes.my
#AirTimes #Pendidikan #KPM #JalurGemilang