if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa Tiada lagi warga Palestin tinggal di Wisma Transit sejak Februari

Tiada lagi warga Palestin tinggal di Wisma Transit sejak Februari

by Suraya Aziz

KUALA LUMPUR, 27 MAC – Seramai 128 rakyat Palestin yang sebelum ini menetap di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) telah dipindahkan ke Asrama PICOMS, Setapak, sejak 15 Februari lalu.

Bangunan milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu kini menjadi penempatan sementara bagi mereka.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pemindahan ini diuruskan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menawarkan persekitaran berbeza kepada rakyat Palestin selepas beberapa kejadian di Wisma Transit.

Ujarnya, tanggungjawab ke atas rakyat Palestin tersebut kini terletak di bawah JAKIM dan MAHAR.

“Kesemua 128 orang rakyat Palestin di WTKL telah dipindahkan ke penempatan baharu iaitu Asrama PICOMS di Setapak, bangunan MAIWP, pada 15 Februari 2025,

“Pengurusan pemindahan ini telah diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan MAIWP dengan kerjasama Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) serta dibantu oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Sanator Tuan Azahar Hassan yang mendesak MINDEF menyatakan tindakan terhadap beberapa rakyat Palestin melakukan pemberontakan, selain kesediaan Malaysia dalam proses penghantaran semula.

Justeru, Khaled berkata, kerajaan kini sedang berunding dengan pihak berkuasa Mesir melalui Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO) bagi memuktamadkan kaedah serta proses penghantaran pulang rakyat Palestin ke Mesir.

“Rundingan ini sedang berjalan, MINDEF optimis bahawa rundingan ini akan berjaya mengambil kira perkembangan konflik semasa di Gaza yang semakin baik susulan gencatan senjata serta pembebasan tebusan oleh Hamas dengan Israel mula dilaksanakan pada 19 Januari 2025,” tambahnya.

Terdahulu, pada bulan Oktober, rakaman video seorang wanita Palestin yang menyebabkan gangguan dan merosakkan harta benda awam di Wisma Putra menjadi viral di media sosial sebelum beliau tampil memohon maaf.

Walau bagaimanapun, tidak lama selepas itu, kejadian serupa kembali berulang.

Pelaku tersebut adalah sebahagian daripada sekumpulan 128 orang awam Palestin yang cedera dibawa ke Malaysia, bersama ahli keluarga mereka, pada 16 Ogos 2024 untuk menerima rawatan perubatan berikutan serangan Israel ke atas Gaza.

Operasi itu menyaksikan dua pesawat Airbus A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membawa pulang rakyat Palestin dari Mesir ke Pangkalan Udara TUDM Subang. -airtimes.my

#palestin #Wismatransit #Malaysia #AirTimes #konflik

Related Articles

Leave a Reply