GAZA, 27 MAC – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengancam untuk merampas sebahagian wilayah Gaza sekiranya Hamas tidak mahu membebaskan baki tebusan, kata Menteri Pertahanan Israel, Katz pada Selasa.
Menurut Netanyahu, objektif kempen baru ini adalah untuk memaksa militan Hamas itu membebaskan tebusan yang masih tinggal.
“Sekiranya Hamas terus dengan sikap degil mereka, mereka akan membayar harga yang semakin tinggi dalam pengambilan wilayah (oleh Israel) dan penghapusan militan serta infrastruktur pengganas sehingga penyerahan kalah sepenuhnya,” kata Katz dalam satu video yang dilaporkan media Israel.
Beliau berucap ketika pihak pengantara terus berusaha menyelamatkan perjanjian gencatan senjata di Gaza yang runtuh selepas Israel memperbaharui serangan udara dan darat pada 18 Mac, setelah Israel dan Hamas gagal mencapai persetujuan untuk melanjutkan gencatan selama dua bulan.
Bagaimanapun, Hamas memberi amaran bahawa tebusan akan ‘dikembalikan dalam keranda’ jika serangan bom ke atas wilayah Palestin oleh Israel tidak dihentikan.
Hamas masih menahan 59 tebusan, dengan 24 dipercayai masih hidup, daripada lebih 250 yang diculik dalam serangan ke Israel pada 7 Oktober 2023. Sebahagian besar yang lain telah dibebaskan, atau mayat mereka diserahkan, dalam pertukaran melalui rundingan.
Sementara itu, tentera Israel pada minggu lalu telah memulakan operasi darat fokus di tengah dan selatan Gaza, selepas meneruskan serangan di kawasan kepungan itu yang telah membunuh ratusan rakyat Palestin.
Serangan ini dianggap antara yang paling dahsyat sejak konflik bermula pada Oktober tahun lalu dan telah memecahkan gencatan senjata yang rapuh, yang sebelum ini sebahagiannya dikuatkuasakan sejak 19 Januari.
Serangan ketenteraan Israel ke Gaza selepas itu telah membunuh lebih 50,000 rakyat Palestin, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas. -airtimes.my
#AirTimes #Gaza #Hamas #Israel