Home Semasa Majikan perlu kemuka sebab jika enggan benarkan pekerja ke PLKN

Majikan perlu kemuka sebab jika enggan benarkan pekerja ke PLKN

by Suraya Aziz

KUALA LUMPUR, 8 FEB – Majikan yang tidak membenarkan pekerja mereka menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 diwajibkan memberikan justifikasi yang munasabah.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Hj Yaacob Hj Samiran berkata, bagi siri pertama PLKN 3.0, penyertaan masih bersifat sukarela.

Namun, mulai siri kedua dan seterusnya, mereka yang dipilih melalui sistem pemilihan wajib menghadiri latihan kecuali jika diberikan kelulusan penangguhan atas sebab yang sah.

“Apabila seseorang itu dipanggil untuk menjalani latihan PLKN, mereka perlu hadir. Jika mereka berhalangan atau mempunyai masalah, mereka perlu memohon untuk membuat penangguhan termasuklah juga apabila mereka yang sedang bekerja.

“Majikan mereka juga kena memberi justifikasi kenapa mereka tidak beri pelepasan kepada bakal-bakal pelatih ini untuk menyertai latihan. Ini tanggungjawab pelatih kerana terikat dengan Akta Latihan Khidmat Negara,” ujarnya.

Peserta PKLN memeriksa senjata ringan, M-16 semasa sesi latihan menembak (Foto: Zulhaizi)

Beliau berkata demikian ketika ditemui Airtimes selepas sesi latihan menembak senjata ringan yang bertempat di Lapang Sasar Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana Sungai Besi, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, mengulas mengenai kebimbangan ibu bapa terhadap aktiviti latihan menembak dalam modul PLKN 3.0, Yaacob berkata, prosedur keselamatan yang ketat telah diterapkan sepanjang latihan bagi memastikan kesejahteraan peserta terjamin.

“Latihan ini dijalankan mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Setiap peserta berada di bawah pemantauan jurulatih yang berpengalaman dan latihan dikendalikan secara terkawal. Mereka bukan dibiarkan secara bebas,

“Ibu bapa tidak perlu risau kerana keselamatan anak-anak mereka menjadi keutamaan kami. Selain itu, mereka juga mempunyai satu pengalaman yang mana mereka tak dapat selama ini” katanya.

Sementara itu, seramai 116 pelatih PLKN 3.0 siri pertama 2025 akan menjalani latihan menembak senjata ringan sebagai sebahagian daripada modul latihan asas ketenteraan PLKN 3.0.

Latihan ini diadakan selama dua hari dan dibahagikan kepada dua kumpulan, dengan 67 peserta menjalani latihan pada hari ini, manakala selebihnya pada esok.

Manakala, PLKN 3.0 siri kedua dijadual akan diteruskan pada bulan Mei di dua lokasi iaitu Kuala Lumpur dan Pekan, Pahang, dengan pengasingan peserta lelaki dan perempuan. -airtimes.my

#PLKN #Majikan #Keselamatan #Tindakantegas #AirTimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?