KUALA LUMPUR, 27 FEB – Demi menyahut panggilan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0, seorang pemuda dari Johor sanggup menyewa kereta untuk hadir ke pusat latihan meskipun menerima panggilan hanya 3 hari sebelum program bermula.
Muhammad Hazlan Nor Azman, 23, berkata, minat mendalam terhadap bidang ketenteraan mendorongnya untuk menerima peluang ini walaupun dengan persediaan yang amat terhad.
“Ikutkan, saya dapat panggilan PLKN ni 3 hari sebelum. Jadi persedian tu memang tak ada. Kereta yang sedia ada pada masa itu pula rosak, jadi terpaksa sewa keretalah untuk datang ke sini,” katanya.
Ujar Hazlan, beliau tidak menyangka dirinya terpilih untuk menyertai PLKN setelah empat kali gagal dalam pemilihan tentera. Namun, tetap menganggap panggilan tersebut sebagai peluang untuk melangkah lebih jauh dalam bidang ketenteraan.
“Saya dapat panggilan dari PLKN sebelum pergi solat Jumaat. Masa tu memang tak terfikir dan saya baru balik kerja. Saya kononnya nak pindah ke KL untuk bekerja tempat baru. Jadi jujur memang terkejut sangat,
“Saya fikir dan bincang dengan keluarga saya. Mereka pun 50-50. Tapi saya yakin, saya nak juga teruskan walaupun memang tak cukup persiapan. Sebab mungkin ini alternatif untuk saya melangkah untuk masuk ke alam ketenteraan,” tambahnya.
Anak jati Tangkak itu berkata, beliau sudah pun selesai menghantar permohonan untuk menyertai Askar Wataniah dan berharap peluang ini dapat membantunya dalam kerjaya ketenteraan pada masa hadapan.

Seramai 116 pelatih PLKN 3.0 siri 1/2025 berjaya hadir semasa majlis perbarisan tamat latihan PLKN (Foto: Zulhaizi/AirTimes)
Beliau berkata demikian ketika ditemui AirTimes selepas majlis perbarisan tamat latihan PLKN 3.0 Siri 1/2025 yang berlangsung di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur, pada Selasa.
Mengulas lanjut mengenai pengalaman keseluruhannya dalam PLKN 3.0 siri 1/2025, Hazlan mengakui tempoh 45 hari dirasakan tidak mencukupi memandangkan modul latihan perlu dihabiskan dalam masa yang singkat.
“Secara keseluruhan bagi kami (pelatih PLKN), memang majoriti semua kata tak cukup 45 hari. Bila kat sini 45 hari, banyak benda yang terkejar-kejar. Contoh macam latihan kawad. Kita orang tak sempat nak hadam habis. Jadi setakat mana kita orang belajar, itu je lah kita orang dapat.
“Macam kelas pula. Alhamdulillah. Walaupun agak tergesa-gesa juga, kami berjaya juga lah faham modul-modul yang diterapkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hazlan turut menggalakkan golongan muda untuk tidak takut menyertai PLKN, sebaliknya melihatnya sebagai peluang untuk meningkatkan disiplin diri serta membina semangat patriotik.
“Kalau orang kata PLKN ni tentera. Bagi saya tak juga. Tapi dia membantu kita membina semangat jati diri dan memupuk semangat cintakan negara. – airtimes.my
#PLKN #Malaysia #Belia #AirTimes #ATM #Pengorbanan