Home Semasa PLKN, BTN dibubar serta merta – Syed Saddiq

PLKN, BTN dibubar serta merta – Syed Saddiq

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Kabinet memansuhkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN), berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata perkara itu diputuskan dalam dua mesyuarat Kabinet sebelum ini.

“Bagaimanapun, nasib pegawai, kakitangan dan kakitangan kontrak akan terus dijaga termasuk dibayar gaji selain diserap ke dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“PLKN dan BTN akan diganti dengan program baharu yang dapat membentuk belia masa depan berwawasan dan tinggi nilai jati diri.

“Program baharu yang diuruskan KBS itu akan membabitkan penstrukturan semula fungsi, perjawatan, peruntukan kewangan dan aset,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Syed Saddiq berkata, pengisian program itu dirangka secara holistik dengan menggabungkan aktiviti dalam dan luar bangunan berimpak tinggi.

Katanya, ia bertujuan menyerlahkan potensi anak muda sebagai rakan strategik dalam membangunkan negara berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Elemen yang diterapkan termasuk bina semangat, pembinaan perwatakan dan integrasi nasional, kenegaraan, jati diri serta sosialisasi politik.

“Penambahbaikan ini selaras dengan hasrat KBS yang ingin mengangkat suara anak muda dalam landskap Malaysia Baharu,” katanya.

Katanya, program baharu itu akan membabitkan kolaborasi merentasi kementerian dan agensi seperti Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM),Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

“Turut terbabit adalah pertubuhan bukan kerajaan termasuk organisasi belia untuk

memperhalusi mekanisme pelaksanaan yang berkesan,” katanya.

Syed Saddiq berkata, usaha itu turut mencerminkan aspirasi kerajaan untuk memastikan program dilakukan lebih inklusif, telus dan bebas daripada doktrin politik serta perkauman.

PLKN diperkenalkan pada 16 Februari 2004 oleh pentadbiran terdahulu bagi memperkasa nilai jati diri dan kenegaraan belia.

BTN adalah unit di bawah JPM yang ditubuhkan pada 1981 untuk memupuk semangat patriotisme, membina sikap berteraskan nilai murni dan penghayatan cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia.

Related Articles

Leave a Reply