Home Pertahanan dan Keselamatan Kerajaan belum muktamadkan pemansuhan PLKN – Mohamad Sabu

Kerajaan belum muktamadkan pemansuhan PLKN – Mohamad Sabu

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Kerajaan belum memuktamadkan pemansuhan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) seperti terkandung dalam manifesto PH.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, sebaliknya kerajaan sedang melakukan kajian bagi menilai semula keberkesanan program itu dan implikasi penutupannya.

Katanya, kajian itu penting sebelum kerajaan membuat keputusan sama ada mahu meneruskan PLKN atau tidak.

“Manifesto PH menetapkan PLKN akan dibatalkan kerana dianggap tak memenuhi objektif yang digariskan dan penuh dengan pembaziran. Namun mengambil kira pandangan ibu bapa, bekas pelatih dan agensi kerajaan berkaitan, satu kajian semula sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan bagi menilai keberkesanan dan implikasi penutupan PLKN sebelum sebarang keputusan akhir dibuat oleh kerajaan.

“Kajian ini amat penting termasuk kemungkinan untuk diadakan pengubahsuaian dan penjimatan jika terdapat keperluan untuk teruskan program ini,” katanya dalam sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, kerajaan mengesan terdapat ketirisan dalam pelaksanaan PLKN khususnya dari segi perbelanjaan.

“Sejak dimulakan pada 2004, jumlah dibelanjakan ialah RM8.43 bilion. Daripada jumlah itu, perbelanjaan yang paling tinggi ialah sewa kem iaitu 43 peratus.

“Kita lihat bahawa ada ketirisan dari segi penyelenggaraan yang perlu diperbaiki dan dilihat semula jika hendak diteruskan. Namun, saya yakin jika diuruskan dengan baik dan tutup segala ketirisan, program ini boleh beri faedah kepada para belia,” katanya.

Artikel Berkaitan: Kementerian Pertahanan sedang kaji semula PLKN – Mohamad Sabu

Related Articles

Leave a Reply