Beliau menggantikan hakim terdahulu, Hakim Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak yang telah dipindahkan dari Mahkamah Tinggi Jenayah 3 ke Mahkamah Tinggi Sivil 10 berkuat kuasa semalam.

Surat pertukaran tersebut ditandatangani oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim pada 24 Julai lalu.

Pada 8 Ogos ini, Hakim Mohd. Nazlan, 51, dijangka turut mendengar permohonan Najib bagi mendapat perintah  menghalang media daripada menyiarkan perbincangan umum berkaitan merit kes itu dan menetapkan tarikh perbicaraan.

Kontroversi tercetus apabila Hakim Mohd. Sofian diketahui merupakan adik kepada ahli Exco Pahang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta daripada UMNO, Datuk Seri Mohd. Soffi Abd. Razak.

Pada 4 Julai lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah  dan satu pertuduhan menyalahgunakan  jawatannya berhubung dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.