Home Pertahanan dan Keselamatan Veteran ATM cadang PLKN libatkan ahlinya yang berpengalaman

Veteran ATM cadang PLKN libatkan ahlinya yang berpengalaman

by Bernama

PONTIAN, 14 Okt – Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencadangkan agar pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dapat melibatkan ahlinya yang berpengalaman dalam bidang ketenteraan, sekali gus membantu kelancaran program berkenaan.

Ahli Majlis Veteran Kebangsaan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata antaranya, veteran ATM boleh memberi khidmat sebagai jurulatih PLKN, yang bakal dilaksanakan di kem-kem tentera terpilih di seluruh negara.

Beliau berkata, selain mempunyai pengalaman dalam bidang ketenteraan, mereka juga mempunyai kemahiran khusus dalam bidang tertentu yang boleh dikongsikan semasa program itu berlangsung.

“PLKN 3.0 yang dicadang dibuat di kem-kem tentera, memberi peluang kepada veteran ATM untuk dilantik sebagai jurulatih.

Selain itu 2,000 lantikan untuk renjer (komuniti) turut dibuka kepada ahli Veteran ATM.

“Kerajaan turut membuka peluang pekerjaan menerusi pengumuman penambahan anggota renjer kepada 2,000 orang dengan melantik veteran ATM, PDRM, Orang Asli dan komuniti setempat,” kata Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Inisiatif Perumahan Veteran ATM Peringkat Negeri Johor 2023 di Ayer Baloi, dekat sini yang turut dihadiri oleh Timbalan Pengerusi Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Cawangan Pontian Ahmad Safar.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan kerajaan akan menambah bilangan renjer komuniti kepada 2,000 orang berbanding 1,000 orang tahun ini bagi meningkatkan penguatkuasaan kawasan hutan simpan kekal.

Sebelum itu, pada 9 Okt lepas, kerajaan bersetuju meneruskan semula PLKN yang dimansuhkan pada 2018, menggunakan kaedah latihan berbeza berbanding sebelumnya dengan anak muda akan menjalani latihan di kem tentera.

Mengenai inisiatif perumahan Veteran ATM, Ahmad berkata sebanyak 99 buah rumah membabitkan peruntukan RM6.5 juta telah dibina telah dibina sejak 2021 manakala lebih RM8 juta telah dibelanjakan kerajaan bagi membaik pulih 554 unit rumah.

“Inisiatif bina dan baik pulih rumah veteran ATM akan diteruskan dalam usaha membantu veteran ATM berpendapatan rendah dan kurang kemampuan dengan menyediakan tempat kediaman lebih kondusif dan selesa.

“Selain itu, menerusi Belanjawan 2024, bayaran insentif RM1,000 turut dipanjangkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen,” katanya. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply