Home Pertahanan dan Keselamatan PLKN akan diwujudkan semula – Ismail Sabri

PLKN akan diwujudkan semula – Ismail Sabri

by Air Times News Network

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=47UYREocHIc[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan diwujudkan semula.

Ismail Sabri menjawab persoalan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang bertanyakan mengapa PLKN diberhentikan dan mencadangkan agar program ini dapat diteruskan semula.

“Untuk makluman Yang Berhormat, program PLKN telah dimansuhkan pada 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH),

“Namun demikian, berdasarkan kepada kesan program yang baik dalam pembentukan patriotisme remaja yang telah menyertai program ini, pihak Kementerian akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri agar program ini dilaksanakan semula,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan 2020 telah meletak semula Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628) di bawah Kementerian Pertahanan.

“Sehubungan itu, kita (Kementerian Pertahanan) akan menyediakan kertas memorandum kepada Jemaah Menteri untuk diluluskan,” ujarnya.

Pada 2018 ketika pemerintahan PH, program PLKN dan Biro Tatanegara (BTN) telah dimansuhkan kerana didakwa telah disalah guna bagi tujuan indoktrinasi fahaman tertentu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga menyatakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menawarkan pelantikan kontrak secara soft landing kepada 1,394 orang bekas pegawai lantikan kontrak Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN).

“Mereka telah ditempatkan di pelbagai agensi dan kementerian bagi tempoh satu tahun mulai 2019 sehinga 2020,

“Tujuan pelantikan tersebut ialah bagi memberi peluang kepada pegawai terlibat untuk menampung sara hidup mereka sebelum mendapat pekerjaan lain,” ujarya.

Beliau menjawab persoalan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang membangkit isu jurulatih-jurulatih kontrak PLKN yang telah ditamatkan kontrak mereka dan mencadangkan diserapkan dalam perkhidmatan di kementerian atau agensi kerajaan yang lain.

“Bagi cadangan Yang Berhormat agar pegawai-pegawai ini diserapkan ke dalam kementerian-kementerian atau agensi kerajaan yang lain, perkara ini perlu dirujuk kepada pihak berkuasa melantik,” kata Ismail Sabri. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply