Home SemasaGlobal UK kitar semula pesawat lama, bangunkan jet tempur generasi ke-6 Tempest

UK kitar semula pesawat lama, bangunkan jet tempur generasi ke-6 Tempest

by Suraya Aziz

LONDON, 7 FEB – Britain (UK) kini mengorak langkah baharu dalam teknologi pertahanan dengan mengitar semula bahagian pesawat Tornado yang telah tamat perkhidmatan untuk digunakan dalam pembangunan jet tempur generasi ke-6, Tempest.

Komponen pesawat lama ini dikisar menjadi serbuk logam sebelum dicetak semula menggunakan teknologi pencetakan 3D bagi menghasilkan bahagian baharu yang lebih ringan, kuat dan tahan lama berbanding kaedah tradisional.

Menteri Perolehan dan Industri Pertahanan UK, Maria Eagle dilaporkan berkata, inisiatif ini menunjukkan keupayaan industri pertahanan negara berkenaan dalam menjimatkan kos serta mengurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan global.

“Dengan bekerjasama dengan rakan industri utama, kita (UK) dapat menjimatkan kos, mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar, serta memastikan Angkatan Tentera kita dilengkapi dengan peralatan terbaik bagi menjaga keselamatan negara,” katanya.

Tegasnya, proses kitar semula ini sekali gus memanfaatkan bahan strategik seperti titanium, aluminium dan keluli berkualiti tinggi yang terdapat dalam pesawat Tornado. 

“Kebanyakan aset lebihan Kementerian Pertahanan mengandungi logam strategik, termasuk keluli, aluminium dan titanium berkualiti tinggi. Dan pasukan projek Tornado 2 Tempest telah mengenal pasti beberapa komponen yang boleh diatomkan menjadi serbuk dikenali sebagai “feedstock” untuk pembuatan bahan tambahan semasa membuat bahagian baharu,” tambah kenyataan tersebut pada Rabu.

Dalam pada itu, salah satu kejayaan penting yang telah dicapai UK ialah penghasilan dan kejayaan ujian komponen muncung pesawat yang dicetak semula menggunakan titanium kitar semula, yang telah dipasang pada enjin ujian Orpheus Rolls-Royce.

Projek kitar semula ini dikendalikan oleh pasukan Kitar Semula & Pelupusan Pertahanan (DRDT) dengan kerjasama Rolls-Royce dan syarikat pembuatan tambahan (AMS) yang berpangkalan di Lancashire.

Dalam perkembangan lain, Tempest yang merupakan jet tempur generasi ke-6 dibangunkan oleh UK bersama Itali dan Jepun ini dijadual mula beroperasi pada 2035.

Pesawat ini juga difahamkan bakal dilengkapi dengan kecerdasan buatan (AI), sistem peperangan elektronik canggih, keupayaan terbang tanpa pemandu dan senjata tenaga berarah (directed-energy weapons).

Ia secara tidak langsung menjadikannya antara jet tempur paling berkuasa di dunia setelah siap dibina. -airtimes.my

#Asetpertahanan #Keselamatandanpertahanan #Tempest #Airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?