KYIV, 17 JAN – Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, telah menandatangani perjanjian kerjasama strategik selama 100 tahun di Kyiv.
Perjanjian ini melambangkan komitmen jangka panjang UK dalam menyokong Ukraine untuk terus bertahan menghadapi konflik dengan Rusia yang telah berlanjutan hampir tiga tahun.
“Kami bersama anda, bukan hanya hari ini atau esok, tetapi untuk 100 tahun, lama selepas perang ini berakhir dan Ukraine kembali bebas serta berkembang maju,” kata Starmer kepada Zelensky pada Khamis.
Menurut laporan media antarabangsa, perjanjian berkenaan merangkumi pelbagai aspek kerjasama, termasuk keselamatan maritim di Laut Baltik, Laut Hitam dan Laut Azov, pembangunan teknologi seperti dron dan usaha pemulihan ekonomi Ukraine.
Selain itu, UK turut menawarkan suntikan dana sebanyak £40 juta (RM 220 Juta) untuk menyokong pemulihan ekonomi, selain menyediakan sistem pengesanan bijirin Ukraine yang dicuri oleh Rusia di wilayah yang diduduki.
“UK akan meningkatkan sokongan ketenteraan, termasuk pemberian 150 laras artileri tambahan, sistem pertahanan udara mudah alih bernama Grave Hawk serta pelbagai bentuk bantuan lain,” tambah kenyataan berkenaan.
Dalam pada itu, UK juga telah menjanjikan £12.8 bilion (RM70.4 billion) dalam bantuan ketenteraan dan kemanusiaan sejak perang bermula.
Perjanjian itu turut mencakupi bidang tenaga, mineral kritikal, dan pengeluaran keluli hijau, selain memperkukuh hubungan strategik untuk menghadapi ancaman Rusia.
Mengulas lanjut, perjanjian ini ditandatangani di tengah konflik berdarah yang bermula sejak Februari 2022 apabila Rusia melancarkan pencerobohan besar-besaran terhadap Ukraine.
Pencerobohan pada 2022 disifatkan sebagai usaha Rusia untuk menghalang penyertaan Ukraine ke dalam NATO dan menyekat hubungan rapatnya dengan negara Barat.
Sejak itu, konflik ini telah menjadi krisis kemanusiaan terbesar di Eropah sejak Perang Dunia Kedua, mengorbankan ribuan nyawa, memaksa jutaan penduduk berpindah serta menyebabkan kemusnahan besar infrastruktur. -airtimes.my
#Global #KonflikUkraineRusia #Keselamatan #AirTimes