Home Semasa Kos pembangunan semula Gaza dianggarkan AS$1 trilion – Anwar

Kos pembangunan semula Gaza dianggarkan AS$1 trilion – Anwar

by Nurulhuda

LONDON, 18 Jan – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan semula Gaza yang hampir musnah akibat serangan Israel sejak Oktober 2023, dijangka menelan kos lebih AS$1 trilion.

Menurutnya, jumlah yang besar diperlukan kerana kemudahan seperti masjid, sekolah, hospital dan rumah telah musnah.

“Ada yang anggarkan kos sebanyak AS$1 trilion,” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika sidang media bersama media Malaysia yang membuat liputan lawatan beliau ke United Kingdom, pada Jumaat.

Anwar berkata, Jepun telah mengundang Malaysia untuk menjadi pengerusi bersama Persidangan mengenai Kerjasama antara Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD), memfokuskan pada pembangunan semula Gaza.

Pada Rabu, perjanjian gencatan senjata di Gaza diumumkan akan bermula Ahad ini setelah perunding proses damai mencapai kesepakatan.

Ini sekali gus akan menamatkan konflik lebih 15 bulan yang meragut lebih 46,000 nyawa.

Perjanjian yang dirundingkan oleh Mesir, Qatar, dan Amerika Syarikat itu melibatkan pengunduran tentera Israel secara berperingkat dari Gaza serta pertukaran tahanan.

Pada Khamis, Anwar berkata walaupun pembinaan semula menjadi keutamaan, kehilangan nyawa lebih 46,700 rakyat Palestin dan lebih 2 juta orang kehilangan tempat tinggal perlu turut diakui dan tidak boleh dilupakan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerjasama dan sokongan daripada rakan-rakan Asia Timur untuk memainkan peranan penting dalam memastikan pembinaan semula Gaza berjalan dengan pantas dan berkesan. -airtimes.my

#semasa #Malaysia #Palestin #Gaza #Anwar #airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?